Balu pemimpin pembangkang Russia dakwa kematian suami akibat diracun
MOSCOW – Misteri kematian pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny, kembali mencuri perhatian apabila balunya, Yulia Navalnaya, mendakwa ujian makmal antarabangsa mengesahkan suaminya mati akibat diracun.
Navalny, 47, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada 16 Februari 2024 ketika menjalani hukuman di sebuah penjara berhampiran Kutub Utara.
Pihak berkuasa Rusia bagaimanapun sebelum ini menegaskan kematiannya berpunca daripada komplikasi kesihatan termasuk masalah jantung dan hipertensi.
Menurut Yulia, sampel biologi milik Navalny berjaya diseludup keluar dari Rusia pada 2024 dan diperiksa di dua makmal berbeza di luar negara.
“Kedua-dua makmal mencapai kesimpulan yang sama iaitu Alexei dibunuh dengan cara diracun. Keputusan ini penting untuk pengetahuan umum dan mesti didedahkan kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran,” katanya seperti dipetik The Guardian.
Yulia turut mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hari terakhir hayat suaminya hilang walaupun sepanjang penahanan beliau sentiasa berada di bawah pemantauan.
Sekutu-sekutu Navalny dalam pada itu turut menyiarkan gambar-gambar yang didakwa dirakam dalam sel tahanan selepas kematiannya.
Foto berkenaan menunjukkan keadaan sel sempit dengan kesan muntah dan darah di lantai berhampiran buku nota serta sebuah kamus Oxford.
Seorang rakan rapat, Leonid Volkov menulis di platform X bahawa Navalny ‘dihabiskan dalam kesakitan, dengan racun’ sambil menegaskan segala usaha pihak tertentu memadam bukti tidak mampu menutup kebenaran.
Sementara itu, laporan media penyiasatan The Insider mendakwa rekod perubatan Navalny telah diubah bagi menafikan tanda-tanda keracunan.
Laporan asal menyebut beliau mengalami sakit perut teruk, muntah, sawan dan pengsan sebelum meninggal dunia.
Kes Navalny menambah siri panjang dakwaan penggunaan racun terhadap musuh politik Kremlin.
Terdahulu, bekas pegawai perisik Alexander Litvinenko meninggal dunia akibat polonium radioaktif di London pada 2006, manakala Sergei Skripal menjadi mangsa serangan agen saraf di Salisbury pada 2018.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








