PRN: PM beri amaran jangan jadikan institusi Diraja Negeri Sembilan bahan kempen
KUALA PILAH – Semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 diminta tidak memainkan isu berkaitan institusi Diraja negeri itu sepanjang tempoh kempen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi Diraja Negeri Sembilan tidak seharusnya dijadikan polemik politik atau dibawa ke ruang perbahasan awam.
Beliau menegaskan, institusi berkenaan adalah salah satu tonggak penting dalam Perlembagaan yang perlu dihormati serta dipelihara maruahnya.
“Jangan langgar perkara ini kerana kita ada undang-undang (untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar),” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) PRN Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Baca juga : Anthony Loke tegaskan DAP junjung Perlembagaan, adat Negeri Sembilan
Anwar berkata, semua pihak perlu menunjukkan rasa hormat terhadap institusi Diraja dan tidak mengambil mudah perkara yang menyentuh kedudukannya.
Beliau berkata, kestabilan sistem Raja Berperlembagaan perlu dipertahankan kerana ia menjadi asas kepada pentadbiran negara dan negeri.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru semua pihak supaya menjalankan kempen secara matang dengan menumpukan kepada tawaran serta rekod perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, persaingan politik tidak seharusnya membawa kepada tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








