PETRA tubuh jawatankuasa banteras kecurian elektrik akibat bitcoin
KUALA LUMPUR – Usaha membanteras kegiatan kecurian elektrik bagi tujuan perlombongan bitcoin diperhebat apabila satu jawatankuasa khas diwujudkan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata jawatankuasa berkenaan menghimpunkan wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia (BNM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, fokus utama jawatankuasa itu adalah merangkumi perbincangan berkaitan dasar, aspek perundangan serta isu rentas kementerian yang berkait langsung dengan penggunaan elektrik secara curang.
“Jawatankuasa ini turut memudah cara perkara yang memerlukan campur tangan dasar dan polisi bagi mengekang aktiviti kecurian bekalan elektrik.
“Daripada hanya melihat dari sisi penguatkuasaan semata-mata, pendekatan jawatankuasa ini adalah lebih menyeluruh. Mesyuarat pertama akan saya pengerusikan pada hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi PETRA.
Beliau menambah, sekiranya wujud keperluan merangka dasar baharu termasuk mengharamkan aktiviti bitcoin atau menambah baik Akta 447, perkara itu akan diteliti secara mendalam sebelum dibawa untuk diputuskan Jemaah Menteri.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan PETRA berjumlah RM5.19 bilion bagi Belanjawan 2026 melalui undian lebih suara bersetuju.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








