JENAYAH & MAHKAMAH

Pertuduhan dipinda, lelaki Israel tidak mengaku salah, mohon bicara

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Israel, Avitan Shalom hari ini membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan pindaan memperdagangkan enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan tambahan kepada jumlah peluru iaitu daripada 158 butir peluru kepada 200 butir peluru dan pindaan kepada nombor siri pistol jenis Glock dan Stoeger Cougar.

Kedua-dua pertuduhan pindaan itu dibacakan kepada Shalom di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin pada prosiding sebutan kes itu.

Shalom kemudian membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan pindaan tersebut.

Susulan itu, Norina menetapkan perbicaraan kes bermula 30 September ini untuk perbicaraan kes tersebut.

“Mahkamah menetapkan 30 September, 1 hingga 3 Oktober dan 7 hingga 10 Oktober sebagai tarikh perbicaraan serta 28 Jun ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.

Sebutan kes hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Shafiq Hasim dan Fazeedah Faik dan peguam Navinjit Singh, mewakili Avitan, 38.

Ketika ditanya Norina, Mohamad Mustaffa memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil seramai 20 orang saksi termasuk pegawai rampasan dan pernyataan saksi akan disediakan.

Pada 27 Mac lalu, Shalom ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, dan pemeriksaan selanjutnya mendapati dia memiliki enam pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Siasatan awal mendapati, Shalom memasuki Malaysia dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac menggunakan pasport Perancis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button