BERITA SEMASA

Perlu kertas putih tangani isu padi, beras negara – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri tersebut.

Beliau berkata, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga wajar ditubuhkan untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat Malaysia.

“Saya berpandangan, isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, perkara itu dicapai hasil daripada pertemuan wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) semalam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) semalam.

Katanya, pertubuhan itu membentangkan mengenai isu-isu berkenaan padi dan beras dan akses kepada benih.

“Antara perkara yang dibangkitkan ialah peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun yang tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli yang tidak menguntungkan petani.

“Para petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan kepada RM1,800 daripada RM1, 300 per tan metrik disebabkan kenaikan pelbagai kos tersebut,” katanya.

Sementara itu katanya, semalam turut diadakan majlis berbuka puasa anjuran Institut Masa Depan Malaysia (MASA) bagi meraikan kakitangan, rakan-rakan media, pemegang taruh serta rakan strategik MASA.

“Selaku Pengerusi MASA, saya gembira dapat berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah dalam majlis yang turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, felo, Ahli-ahli Bersekutu, rakan penyelidik MASA, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan serta kanak-kanak asnaf,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button