Peningkatan WCR 2025: Bukti nyata ekonomi negara semakin kukuh
KUALA LUMPUR – Kenaikan Malaysia sebanyak 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 yang melonjak dari kedudukan ke-34 ke tangga ke-23 dunia, menjadi bukti nyata terhadap kekukuhan dan kemajuan ekonomi negara yang konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pencapaian ini bukan sahaja memperlihatkan keberkesanan dasar ekonomi negara, malah turut menjadi refleksi keupayaan Malaysia menarik pelaburan asing secara berterusan.

“Faktor utama di sebalik kenaikan Malaysia adalah prestasi ekonomi negara yang sentiasa menunjukkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif setiap tahun serta kecekapan kerajaan dalam menguruskan kemasukan pelaburan dan urusan perdagangan.
“Ranking ini mencerminkan realiti ekonomi negara yang masih mampu menarik pelaburan FDI yang bertambah setiap tahun dan imbangan dagang serta akaun semasa yang masih kekal positif,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa keyakinan pelabur turut dipacu oleh dasar fiskal kerajaan yang lebih berhemah termasuk penyelarasan subsidi dan usaha mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan awam.
Pandangan tersebut turut diperkukuh oleh Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee yang menyifatkan peningkatan dalam WCR sebagai kejayaan besar yang mengesahkan hala tuju ekonomi MADANI yang kini sedang dilaksanakan kerajaan.
“Ini adalah pencapaian terbaik negara dan ia memberi impak signifikan terhadap pemulihan ekonomi yang lebih menyeluruh dan terancang.
“Kita lihat bagaimana kestabilan dasar telah mendorong pertumbuhan sektor eksport dan perdagangan negara,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, data April 2025 menunjukkan eksport negara mencecah RM133.6 bilion manakala import bernilai RM128 bilion.
“Ini satu petanda jelas bahawa perdagangan negara terus mencatat pertumbuhan dua angka selama 15 bulan berturut-turut,” katanya.
Kedua-dua tokoh akademik ini sepakat bahawa cabaran seterusnya adalah untuk memastikan manfaat peningkatan itu dapat dirasai rakyat secara langsung.
“Indeks ini mengukur prestasi makro. Realitinya, kerajaan perlu memastikan rakyat memperoleh manfaat melalui pengukuhan jaringan keselamatan sosial dan penglibatan PMKS dalam rantaian ekonomi negara,” ujar Dr. Umi Hamidaton.
Sementara itu, Prof Razman menegaskan bahawa sebenarnya kesan langsung kepada rakyat sudah pun berlaku tetapi kerajaan perlu meningkatkan kesedaran dan komunikasi yang lebih berkesan kepada masyarakat.
“Peningkatan bantuan fiskal melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pengekalan harga kawalan untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan asas, kos kesihatan dan pendidikan yang minimum adalah bukti rakyat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara ini,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








One Comment