JENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga kek rugi RM600,000, wang simpanan dan sembilan geran tanah musnah dalam kebakaran

KOTA BHARU – Seorang peniaga kek menanggung kerugian dianggarkan RM600,000 apabila rumah keluarganya di Kampung Banggu, di sini musnah dalam kebakaran semalam, mengakibatkan wang simpanan, barang kemas serta sembilan keping geran tanah tidak sempat diselamatkan.

Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa, Fatin Izyani Daud, 30, berkata, kebakaran memusnahkan wang simpanannya sebanyak RM15,000, barang kemas bernilai lebih RM50,000 serta pelbagai peralatan perniagaan yang menjadi sumber pendapatannya.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada bersendirian di rumah dan sedang melipat pakaian sebelum terhidu bau hangit dari arah belakang rumah berhampiran bilik bapanya.

“Saya kemudian melihat sebahagian siling berhampiran bilik bapa runtuh sebelum api merebak dengan pantas dan membakar keseluruhan rumah.

“Saya hanya sempat mencapai beg tangan yang berada berhampiran pintu sebelum mengalihkan kereta Perodua Kelisa di hadapan rumah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Fatin Izyani berkata, selain rumah yang musnah sepenuhnya, tiga unit pembakar kek, peti sejuk untuk menyimpan kek, tiga telefon bimbit serta sembilan keping geran tanah turut hangus dijilat api.

Katanya, dia mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas memandangkan fius utama rumah tersebut sudah lama digunakan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Mohd Faizul Anuar Mohd Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.44 tengah hari.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan dua buah motosikal.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak, manakala punca kejadian serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button