POLITIK

Pemuda UMNO adakan siri post mortem kaji kekalahan teruk pada PRN

CYBERJAYA – Sayap Pemuda UMNO akan mengadakan siri post mortem bagi mengenal pasti kekalahan teruk parti berkenaan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan di enam buah negeri, pada 12 Ogos lepas.

Ketuanya, Dr. Akmal Salleh berkata, beliau menerima maklum balas yang amat baik daripada para ahli untuk turut serta dalam program berkenaan yang akan diadakan pada Khamis ini.

“Memandangkan kapasiti dewan yang ada begitu terhad dan permintaan untuk diadakan beberapa siri di setiap negeri, maka untuk fasa pertama ini kita akan buka dulu kepada pimpinan G5 setiap Pemuda UMNO bahagian sahaja untuk hadir.

“Insya Allah kita akan buat jelajah seluruh negeri agar sesi post mortem ini akan lebih terfokus dan boleh melibatkan lebih ramai ahli-ahli di bawah untuk hadir,” kongsi Dr. Akmal dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau menambah, jadual sesi post mortem bagi seluruh negara akan dikeluarkan nanti.

“Masa untuk kita berani berubah kepada yang lebih baik. UMNO perlu dikembalikan kepada zaman kegemilangannya,” kongsi Dr. Akmal lagi.

Keputusan PRN yang diadakan baru-baru ini menunjukkan parti UMNO semakin hilang taring dalam meraih sokongan apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button