LUAR NEGARA

Pempengaruh AS bantu keluarga Pakistan bebas belenggu hutang 130 tahun

ISLAMABAD – Tindakan seorang pempengaruh dari Amerika Syarikat membantu melangsaikan hutang sebuah keluarga di Pakistan yang terperangkap dalam sistem hutang buruh selama lebih 130 tahun mengundang sebak dan perhatian ramai di media sosial.

Menurut laman berita Briefly, Aaron Hutchings yang mengendalikan laman filantropi @whatintheworldfamily dilaporkan sanggup membayar keseluruhan hutang keluarga terbabit ketika mengunjungi sebuah kilang bata di Pakistan.

Tindakan itu sekali gus menamatkan penderitaan beberapa generasi keluarga tersebut yang terpaksa bekerja di kilang berkenaan dengan bayaran amat rendah demi melunaskan hutang diwarisi sejak turun-temurun.

Menerusi video tular baru-baru ini, seorang wanita berpakaian tradisional Pakistan dilihat memeluk Hutchings dalam keadaan penuh emosi sambil diperhatikan beberapa ahli keluarga lain.

Sistem hutang buruh berlaku apabila keluarga miskin membuat pinjaman wang dan kemudian dipaksa bekerja bagi membayar semula hutang tersebut.

Amalan yang sering digelar sebagai perhambaan moden itu menyebabkan pekerja terus dibelenggu hutang kerana kadar faedah tinggi dikenakan sedangkan upah diterima terlalu kecil.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila hutang tersebut diwariskan kepada anak-anak selepas kematian ibu bapa, menyebabkan generasi seterusnya terus terperangkap dalam sistem sama.

Di Pakistan, ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa hutang buruh terpaksa bekerja sejak kecil dan tidak berpeluang mendapat pendidikan formal.

Menurut anggaran Jabatan Negara Amerika Syarikat, seramai 4.5 juta penduduk di Pakistan dipercayai hidup dalam situasi hutang buruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button