BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pemenang 7 pingat emas sukan Biathlon bersemadi di puncak Laila

ISLAMABAD – Juara dunia tujuh kali dan pemenang dua pingat emas Olimpik sukan Biathlon, Laura Dahlmeier disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuruni puncak Laila setinggi 6,096 meter di Hushe, Pakistan, awal minggu ini.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pasukan pengurusan, jasad Laura tidak akan dibawa turun dari lokasi kejadian sepertimana yang diwasiatkan untuk tidak meletakkan risiko kepada mana-mana individu dan pihak lain.

“Hasrat terakhir Laura adalah untuk dibiarkan bersemadi di gunung. Keluarga beliau turut meminta agar kehendaknya itu dihormati,” menurut kenyataan itu.

Pasukan penyelamat, termasuk pendaki tempatan dan helikopter tentera Pakistan telah digerakkan sebaik menerima maklumat mengenai insiden tersebut.

Bagaimanapun keadaan cuaca yang buruk serta runtuhan batu yang berterusan telah menyukarkan usaha menyelamat.

Berdasarkan laporan media tempatan yang memetik juruterbang helikopter, Laura dipercayai meninggal dunia akibat impak runtuhan batu.

Kejadian berlaku ketika Laura dan rakan pendakinya, Krauss sedang menuruni lereng curam Laila Peak sebelum berlaku insiden runtuhan batu yang dipercayai berpunca daripada pergerakan tali.

“Terima kasih kepada penyelamat Pakistan. Pihak pengurusan Laura menyampaikan ucapan terima kasih atas segala usaha pasukan penyelamat.

“Keluarga juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan penyelamat, khususnya pendaki tempatan, atas segala usaha yang dicurahkan untuk membantu,” kata mereka.

Dilahirkan di Garmisch-Partenkirchen, Jerman, Laura dikenali sebagai salah seorang atlet biathlon wanita terbaik sepanjang zaman.

Beliau memenangi tujuh gelaran juara dunia serta dua pingat emas Olimpik sebelum bersara daripada sukan profesional pada usia 25 tahun pada tahun 2019.

Selepas bersara, beliau memilih untuk menceburi dunia pendakian gunung dan ski alpain namun terus mengikuti perkembangan sukan biathlon dan menjadi pengulas untuk televisyen Jerman.

Laila Peak yang terletak di kawasan pergunungan Baltoro/Hushe, merupakan antara puncak paling menakjubkan dan mencabar, khususnya bagi aktiviti ski menuruni lereng curam setinggi 1,500 meter pada sudut 45 darjah.

Sebelum mencuba Laila Peak, Laura berjaya menawan Great Trango Tower, juga di Pakistan.

Tragedi ini bukan sahaja meragut seorang atlet ternama, tetapi juga seorang pencinta alam yang meninggalkan legasi dalam sukan dan pendakian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button