BERITA SEMASA

Pelan Strategik KEMAS 2026-2030 fokus pembangunan generasi desa celik teknologi

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan modal insan luar bandar menerusi pelancaran Pelan Strategik KEMAS 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada pembentukan generasi berilmu, celik teknologi dan berdaya saing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KEMAS merupakan institusi pendidikan awal yang dekat dengan komuniti dan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan anak-anak di kawasan desa.

Menurut beliau, program seperti TABIKA, TASKA, Pra-Tahfiz, Smart Classroom dan TABIKA Tunas Istimewa bukan sekadar platform pendidikan, malah menjadi asas pembinaan generasi luar bandar yang berilmu, berakhlak serta memiliki keyakinan diri sejak usia muda.

“Kita juga perlu terus berbangga dengan peranan KEMAS sebagai institusi pendidikan awal yang dekat dengan komuniti.

“TABIKA, TASKA, Pra-Tahfiz, Smart Classroom dan TABIKA Tunas Istimewa bukan sekadar program pendidikan, ia adalah asas membina generasi desa yang berilmu, berakhlak, celik teknologi dan mempunyai keyakinan sejak awal usia,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Pelan Strategik KEMAS 2026-2030 di sini hari ini.

Beliau berkata, penyertaan anak-anak TABIKA KEMAS dalam pertandingan robotik di peringkat antarabangsa baru-baru ini membuktikan potensi besar yang dimiliki anak-anak luar bandar apabila diberi peluang, bimbingan dan pendedahan yang sewajarnya.

“Anak desa tidak kurang hebatnya. Yang mereka perlukan ialah ruang, bimbingan dan pendedahan. Jika peluang itu kita berikan, mereka mampu berdiri sama tinggi dengan sesiapa sahaja,” katanya.

Pelan Strategik KEMAS 2026-2030 disasarkan untuk mencapai beberapa keberhasilan utama termasuk melahirkan komuniti yang berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran digital.

Selain itu, pelan berkenaan turut menekankan organisasi KEMAS yang lebih cekap, responsif dan berasaskan data serta membentuk masyarakat desa yang lebih sejahtera, progresif dan mampan.

Dalam perkembangan berkaitan, KEMAS turut melaksanakan Projek Roti Kampung KEMAS sebagai projek rintis yang bermula pada tahun 2025 melibatkan 14 negeri di seluruh negara.

Inisiatif tersebut memberi peluang kepada pengusaha kecil bimbingan KEMAS membekalkan roti kepada TABIKA KEMAS di kawasan masing-masing.

Bagi memastikan kualiti produk dan kecekapan penghantaran, penyertaan projek itu dihadkan kepada pengusaha dalam radius kurang daripada lima kilometer dari TABIKA KEMAS.

Pendekatan tersebut membolehkan produk dihantar dengan lebih cepat dan segar selain mengurangkan kos logistik serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Sebagai simbol sokongan terhadap inisiatif berkenaan, KEMAS turut mengedarkan sebanyak 500 unit Roti Kampung KEMAS kepada warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini.

Roti yang diedarkan merupakan hasil keluaran pengusaha dan tenaga pengajar Kelas Masakan KEMAS Negeri Sembilan serta antara produk yang dibekalkan kepada kanak-kanak TABIKA KEMAS menerusi Projek Roti Kampung KEMAS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button