BERITA SEMASA

Pelaksanaan pusingan kerja di kaunter kerajaan bermula hari ini – KPPA

PUTRAJAYA – Pelaksanaan pusingan kerja bagi semua petugas kaunter kerajaan termasuk jabatan di bawah kementerian mula dilaksanakan hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, langkah ini adalah bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter.

Selain itu, ia bertujuan untuk meningkatkan kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagaian kemahiran kerja serta memperkasa pengalaman pelanggan dengan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra.

“Melalui pusingan kerja ini, petugas kaunter akan diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter, membolehkan mereka menangani pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih berkesan.

“Langkah ini sejajar dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam untuk mewujudkan sistem kerja yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan pusingan kerja itu membabitkan semua kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, serta beberapa kementerian lain yang terbabit secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Menerusi pelaksanaan langkah ini, petugas kaunter akan diberikan latihan berkala dan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan pusingan kerja petugas kaunter, perkhidmatan awam negara akan terus diperkukuh dan mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Pelaksanaan pusingan tugasan di kaunter ini dicadangkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarah meneliti dan melaksanakan pusingan kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.

Beliau menegaskan, tempoh lima tahun untuk bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button