Pelajar universiti didenda RM10,000 jual video lucah di Telegram
SEPANG – Seorang penuntut universiti awam didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual video lucah di aplikasi Telegram bagi tujuan komersial pada Julai lalu.
Tertuduh, Muhammad Aidil Akmal Azhar, 24, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Telegram menerusi akaun “@cocomelon87” untuk menjual video lucah bertajuk Promo July24 kepada seorang ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan bayaran RM100.
Hakim, Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sebagai anggota masyarakat, kamu kena faham batasan agama dan moral. Setiap orang memang ada hujah tersendiri, dilakukan secara suka sama suka dan sebagainya.
“Tetapi masyarakat Melayu mempunyai adab kesopanan yang tinggi seperti yang terdapat dalam Rukun Negara.
“Saya harap pada masa akan datang, kamu akan pertimbangkan dan berhati-hati dalam menggunakan media sosial,” kata Ahmad Fuad.
Menurut fakta kes, siasatan mendapati tertuduh menggunakan akaun media sosial X “@sanomanji89” untuk mempromosikan video lucah berkenaan pada 1 Mac 2024.
Pada 23 Julai 2024, pegawai operasi MCMC, Zakuan Akmal Nazari yang diarahkan bertindak sebagai ejen provokasi telah menghubungi akaun tersebut bagi membeli video bertajuk Promo July24.
Tertuduh kemudian bersetuju menjual video berkenaan dengan harga RM100 dan menerima bayaran melalui Touch ’n Go Reload Pin.
Setelah bayaran disahkan, tertuduh memberikan pautan Telegram “@cocomelon87” yang digunakan untuk menghantar video lucah itu.
Zakuan kemudian mengesahkan video yang diterima menggambarkan aksi hubungan seks antara lelaki dan wanita.
Berikutan laporan yang dibuat, MCMC dan polis menjalankan operasi pada 29 Oktober 2024 di Menara U2, Seksyen 13, Shah Alam dan merampas sebuah telefon pintar iPhone 12 biru serta kad SIM Celcom daripada tertuduh.
Analisis forensik mendapati akaun X “@sanomanji89” dan Telegram “@cocomelon87” aktif dalam telefon berkenaan termasuk perbualan dan video yang dihantar kepada ejen MCMC.
Selain itu, rekod TNG Digital Sdn. Bhd. mengesahkan transaksi pembayaran RM100 yang ditebus oleh tertuduh.
CelcomDigi turut mengesahkan nombor telefon digunakan akaun Telegram tersebut didaftarkan atas nama ibu tertuduh namun digunakan oleh tertuduh sendiri.

Dalam rayuan, peguam bela tertuduh, Sabrina Mohamad memohon hukuman ringan dengan alasan masih menuntut di universiti dan telah mengaku bersalah sekali gus mempercepatkan proses mahkamah menjatuhkan hukuman.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fadhli Ab Wahab berhujah kesalahan itu serius kerana melibatkan penjualan bahan lucah di platform terbuka yang boleh diakses masyarakat umum.
Terdahulu, pada 25 September 2025, Muhammad Aidil telah dijatuhkan hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah di akaun X miliknya pada 2024.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



