Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan laksana ekspedisi pelancongan lima hari di Langkawi
PASIR GUDANG – Sekumpulan pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Ibrahim Sultan, di sini terlibat dalam program ekspedisi pelancongan selama lima hari di Pulau Langkawi menerusi inisiatif ‘Langkawi Land of Legends: A Thousand Steps Beyond’, baru-baru ini.
Program di bawah kursus DTM40384 Tourism Expedition itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan akademik selain memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam menganjurkan ekspedisi pelancongan secara profesional selaras dengan Course Learning Outcome (CLO) yang ditetapkan.

Program berkenaan turut menggabungkan elemen voluntourism dan voluntarism melalui kerjasama dengan Langkawi UNESCO Global Geopark, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Langkawi Wildlife Park.
Pensyarah pengiring ekspedisi, Salina Mohammad Sipellizan berkata, program itu bukan sekadar perjalanan akademik, tetapi satu proses pembentukan jati diri pelajar dalam memahami realiti industri.
“Kita nak pelajar bukan hanya tahu teori tetapi mampu memimpin, membuat keputusan dan berdepan situasi sebenar di lapangan.
“Bila mereka turun sendiri, urus aktiviti, berinteraksi dengan industri dan komuniti, di situlah pembelajaran sebenar berlaku,” jelas beliau kepada Malaysia Tribune.
Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan termasuk pembersihan kolam haiwan di Langkawi Wildlife Park serta program tanggungjawab sosial (CSR) seperti pembersihan pantai di Kilim Geoforest Park bagi meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Sepanjang program, pelajar turut melawat beberapa lokasi pelancongan utama termasuk Pantai Cenang, Oriental Village (SkyCab dan SkyBridge), Makam Mahsuri serta Dream Forest Langkawi.

“Dalam masa sama, pelajar menjalankan kaji selidik dan temu bual bagi memahami ekosistem industri pelancongan meliputi aspek tarikan, makanan dan minuman, warisan, pengangkutan serta penginapan.
“Mereka juga didedahkan dengan pengalaman budaya tempatan melalui lawatan ke Kompleks Kraf Langkawi dan Pasar Malam Beras Terbakar,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Abdul Karim Abdul Hamid berkata, program sedemikian menjadi pemangkin penting dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri.

“Kita tidak mahu pelajar hanya cemerlang di atas kertas, tetapi juga tangkas di lapangan.
“Kolaborasi bersama pihak industri seperti ini membuka ruang pembelajaran yang lebih luas dan relevan dengan kehendak semasa,” katanya.
Seorang peserta, Haziq Ikmal Amizan berkata, pengalaman sepanjang ekspedisi itu membuka perspektif baharu tentang dunia pelancongan.
“Sepanjang program ini, saya belajar banyak perkara yang tidak dipelajari dalam kelas seperti cara berkomunikasi dengan pihak industri, mengurus aktiviti di lokasi dan bekerja dalam pasukan.

“Aktiviti CSR dan kaji selidik yang kami jalankan betul-betul memberi pengalaman sebenar tentang industri pelancongan,” katanya.
Menurut pihak penganjur, program tersebut menyumbang kepada pembangunan pelajar holistik selaras dengan KPI institusi serta memperkukuhkan jaringan kolaborasi bersama industri.
Pada masa yang sama, ia menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh, praktikal dan berimpak tinggi.

“Ekspedisi ini membuktikan bahawa pembelajaran tidak lagi terhad di dalam bilik kuliah tetapi hidup di lapangan, di pantai, di hutan dan di setiap langkah yang membawa pelajar lebih dekat kepada realiti industri pelancongan.” kata Abdul Karim.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








