GAYA HIDUPRENCANA

Pantai Hospital Cheras berwajah baharu, komited jaga kesihatan komuniti lebih tiga dekad

PANTAI Hospital Cheras melakar satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan lebih tiga dekadnya apabila memperkenalkan wajah baharu hospital yang kini tampil dengan reka bentuk lebih segar dan moden.

Transformasi itu bukan sekadar perubahan fizikal tetapi lambang kepada komitmen berterusan hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mesra pesakit, mudah diakses serta penuh ihsan.

Majlis pelancaran yang berlangsung baru-baru ini diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan.

PHC
Dari kiri, Dr Kamal, Erica, Kok Wai dan Soon Mei ketika perasmian wajah baharu hospital tersebut baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Tengah IHH Healthcare Malaysia, Erica Lam; Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Cheras, Chong Soon Mei dan wakil komuniti setempat.

Acara pelancaran turut digabungkan dengan Karnival Kesihatan Komuniti bertemakan “Langkah ke Arah Kesihatan Lebih Baik” yang meraikan gaya hidup sihat bersama masyarakat setempat.

Menurut Dr Kamal, pengenalan wajah baharu itu menandakan satu pembaharuan janji untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Cheras dan sekitarnya.

“Ini bukan sekadar perubahan rupa bentuk tetapi satu peringatan terhadap janji kami.

“Selama lebih 30 tahun, Pantai Hospital Cheras menjadi rakan kesihatan yang dipercayai oleh keluarga setempat.

“Kami kekal teguh berkhidmat dengan penuh kasih, maruah dan kepercayaan untuk tahun-tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa penjagaan kesihatan tidak seharusnya terhad kepada rawatan penyakit semata-mata, tetapi perlu merangkumi usaha memperkukuh keluarga, mengurangkan jurang ketidaksamaan dan memberikan setiap insan maruah dalam menerima rawatan.

CEO IHH
Dr Kamal berucap pada majlis pelancaran wajah baharu Pantai Hospital Cheras.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Cheras, Chong Soon Mei pula berkata, hospital sentiasa mendengar keperluan dan maklum balas pesakit bagi menambah baik pengalaman rawatan dari semasa ke semasa.

“Kami berpegang teguh kepada prinsip ‘pesakit didahulukan’.

“Dengan menambah baik kemudahan, mempertingkat akses rawatan dan memastikan pengalaman pesakit lebih selesa, kami mahu setiap pesakit dan keluarga mereka berasa tenang serta yakin sebaik melangkah masuk ke hospital,” ujarnya.

Sementara itu, Kok Wai pula menyifatkan perubahan wajah hospital tersebut sebagai simbol kemajuan dan dedikasi terhadap kesejahteraan penduduk tempatan.

“Pantai Hospital Cheras bukan sekadar institusi kesihatan, tetapi sebahagian daripada komuniti ini.

“Ramai keluarga di Cheras mendapatkan rawatan di sini sejak ia ditubuhkan.

“Adalah menggembirakan melihat hospital ini terus berkembang tanpa melupakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat,” katanya.

Pantai Hospital Cheras turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan pengalaman pesakit termasuklah:

– Papan tanda baharu di Jabatan Kecemasan bagi memudahkan akses rawatan segera.

– Pengubahsuaian wad kanak-kanak dengan bilik pesakit lebih selesa.

– Kawasan parkir baharu berhampiran hospital untuk kemudahan pelawat.

Langkah-langkah itu mencerminkan usaha hospital untuk memastikan setiap perjalanan pesakit dari ketibaan hingga rawatan menjadi lebih lancar, selamat dan menenangkan.

PHC Team
Erica (tengah) bersama kakitangan Pantai Hospital Cheras sentiasa bersemangat memberikan perkhidmatan terbaik buat masyarakat.

Majlis pelancaran turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti menarik sempena karnival kesihatan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi pertolongan cemas dan bantuan hayat asas (BLS), persembahan tarian singa, gerai kesihatan serta permainan kanak-kanak dengan hadiah menarik.

Ditubuhkan pada tahun 1994, Pantai Hospital Cheras ialah hospital komuniti pelbagai disiplin yang terletak strategik kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Hospital ini diiktiraf oleh Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) dan mempunyai lebih 70 pakar dalam pelbagai bidang termasuk Perubatan Dalaman, Pembedahan Am, Kardiologi, Neurologi, Nefrologi, Oftalmologi, Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik serta Ortopedik.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web rasmi www.pantai.com.my/cheras

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button