12 hospital IHH Malaysia tersenarai dalam World’s Best Hospitals 2026
KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 hospital di bawah rangkaian IHH Healthcare Malaysia tersenarai dalam penarafan World’s Best Hospitals 2026 oleh majalah antarabangsa Newsweek, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju sektor perubatan swasta di negara ini.
Pengiktirafan itu menandakan tahun ketiga berturut-turut rangkaian hospital berkenaan menerima pengiktirafan global, mencerminkan standard tinggi dalam aspek penjagaan klinikal, keselamatan pesakit serta kualiti perkhidmatan yang setanding dengan piawaian antarabangsa.

Antara pencapaian paling menonjol ialah peningkatan prestasi Gleneagles Hospital Kuala Lumpur yang melonjak ke kedudukan ke-193 peringkat global tahun ini, berbanding tangga ke-204 pada 2025 dan ke-223 pada 2024.
Peningkatan konsisten itu sekali gus mengukuhkan kedudukan hospital berkenaan sebagai hospital swasta kedua terbaik di Malaysia.
Selain itu, empat lagi hospital dalam rangkaian IHH turut berada dalam kelompok 10 hospital terbaik di Malaysia, iaitu Prince Court Medical Centre, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Island Hospital serta Gleneagles Hospital Penang.
Sementara itu, Gleneagles Hospital Johor turut tersenarai dalam kelompok 20 hospital terbaik di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Kamal Amzan berkata, pengiktirafan berterusan tersebut adalah hasil komitmen rangkaian hospital berkenaan dalam memperkukuh tadbir urus serta memastikan penjagaan pesakit dilaksanakan secara konsisten.
Menurutnya, kecemerlangan klinikal tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina melalui disiplin tinggi dalam mengurus hasil rawatan, mempertingkat keselamatan pesakit dan menambah baik sistem penjagaan kesihatan.
“Konsistensi ini yang mengekalkan kepercayaan orang ramai serta membolehkan kami terus mentransformasikan cara penjagaan kesihatan disampaikan di semua hospital kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Penarafan tahunan oleh Newsweek yang dibangunkan bersama firma data global Statista menilai hospital berdasarkan pelbagai indikator termasuk prestasi perubatan, pengalaman pesakit serta cadangan pakar perubatan antarabangsa.

Terdahulu tahun ini, sebanyak 11 hospital di bawah IHH Malaysia turut menerima pengiktirafan dalam senarai Newsweek’s Asia’s Top Private Hospitals & Clinics 2026.
Pencapaian terbaharu itu dilihat mengukuhkan lagi komitmen IHH Malaysia dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan yang disampaikan kekal berkualiti, bertanggungjawab serta selari dengan standard global yang sentiasa dipertingkatkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







