Pahang laksana kerja dari rumah mulai minggu depan
KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangannya, berkuat kuasa mulai minggu hadapan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung, termasuk kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual, tanpa menjejaskan kecekapan operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat.
“Ketua-ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaannya berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama katanya, penjawat awam negeri diharapkan dapat terus mengekalkan disiplin, integriti dan produktiviti yang tinggi sepanjang pelaksanaan dasar ini.
“Dalam semangat yang sama, kerajaan negeri turut menggalakkan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta majikan-majikan lain di negeri Pahang untuk mempertimbangkan pendekatan kerja yang lebih fleksibel, termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah sekiranya bersesuaian dengan operasi dan keperluan organisasi masing-masing.
“Kerajaan negeri percaya langkah ini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang bekerja, di samping mewujudkan suasana kerja yang lebih seimbang, produktif dan responsif terhadap cabaran semasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








