BERITA SEMASA

Operasi SAR mencari Hawari ditamatkan hari ini

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak 19 Mei lepas ditamatkan hari ini.

Pengurus pasukan Malaysia Everest 2023 (ME2023), Ayu Wanirah Naharudin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, beliau menerima maklumat daripada ketua misi tersebut, Azim Afif Ishak bahawa dron yang digunakan bagi operasi SAR berdepan masalah untuk menerima gambar dan video yang dirakam.

“Masalah ini mungkin berpunca daripada faktor cuaca sejuk menyebabkan dron berkenaan sukar untuk berfungsi dengan baik selepas tiga hari berturut-turut digunakan untuk operasi SAR,” katanya.

Ayu Wanirah berkata ketika ini, beliau bersama seorang lagi pendaki ME2023 iaitu Tiong Ling Yang sudah berada di Kathmandu, Nepal untuk meneliti gambar dan video yang dihantar sebelum ini.

“Kami akan terus meneliti gambar dan video yang telah dirakam dan sekiranya mendapat petunjuk baharu, kami akan mendapatkan nasihat pihak berkuasa Nepal dan Kedutaan Malaysia di Nepal,” katanya.

Selain masalah dron, Ayu Wanirah berkata pasukan operasi SAR turut bergelut dengan syarikat pengendali helikopter yang telah dilantik apabila ia memanggil balik juruterbang untuk pulang ke negara asalnya di Jerman.

“Ia sekali gus menyukarkan mereka untuk meneruskan operasi SAR yang berbaki lagi sehari namun terpaksa akur dengan arahan atas faktor keselamatan,” katanya.

Operasi SAR itu menyaksikan dua dron digunakan iaitu jenis DJI Matrice 300 RTK dan DJI Mavic 3 yang diterbangkan khas dari Malaysia.

Operasi SAR Muhammad Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran memasuki hari ke 19 selepas beliau dilaporkan hilang pada 19 Mei lepas selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Sehari sebelum itu, pada 3.30 petang waktu Nepal, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest.

ME2023 sebelum ini turut mengadakan operasi SAR darat menggunakan khidmat dan kepakaran malim gunung serta pencarian melalui udara menggunakan helikopter.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button