Operasi naikkan bangkai helikopter PGU PDRM bermula esok
ISKANDAR PUTERI – Operasi untuk mengeluarkan bangkai helikopter milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah pada minggu lalu akan dilakukan pagi esok.
Helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG itu terhempas pada Khamis lalu ketika sedang menyertai Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
BACA : Helikopter PDRM terhempas di Sungai Pulai, 5 cedera – CAAM
Tinjauan Kosmo! di lokasi nahas hari ini mendapati pasukan penyelam daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan PDRM sedang menjalankan penilaian serta persiapan akhir sebelum operasi penyelaman dilakukan bagi menentukan kaedah terbaik untuk mengangkat bangkai helikopter berkenaan.
Terdahulu, satu mesyuarat penyelarasan tindakan telah diadakan di Markas Operasi Bersepadu Nahas Helikopter berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melibatkan pelbagai agensi, menurut laporan itu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Johor, Senior Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah serta Timbalan Komander (Operasi) PGU Subang, Senior Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.

Turut terlibat dalam koordinasi operasi adalah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Pasukan Polis Marin (PPM), TLDM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).
Dalam kejadian pada jam 10.25 pagi itu, lima anggota PDRM mengalami kecederaan termasuk dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran yang dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad; pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut mengalami kecederaan dan kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








