BERITA SEMASA

Network School: Johor gesa keputusan muktamad Kerajaan Persekutuan

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membuat keputusan segera, jelas dan muktamad berhubung status individu yang terlibat serta operasi Network School di Forest City, susulan isu yang tular baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut beliau, di peringkat negeri pula, tindakan penguatkuasaan telah diambil menerusi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berdasarkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

“MBIP telah menjalankan pemeriksaan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis serta syarat-syarat papan iklan yang digunakan oleh syarikat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu beroperasi di dua premis, dengan satu daripadanya mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala sebuah lagi didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki seorang warganegara tempatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati syarikat berkenaan melanggar syarat lesen apabila menggunakan premis yang diluluskan sebagai pejabat urusan untuk dijadikan ruang kelas.

Selain itu, syarikat terbabit juga didapati menjalankan aktiviti promosi perniagaan tanpa mengemukakan permohonan secara terperinci seperti yang ditetapkan.

Sehubungan itu, MBIP telah mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Pada masa sama, Notis Lesen Iklan turut dikeluarkan mengikut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat serta tidak selaras dengan kelulusan yang diberikan.

Onn Hafiz menegaskan Kerajaan Johor akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek yang berada di bawah bidang kuasa MBIP.

“Sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button