BERITA SEMASADALAM NEGERI

Na’imah nafi terbabit usaha jatuhkan kerajaan

KUALA LUMPUR – Isteri Allahyarham Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan dakwaan beliau terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan, sambil menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan bermotif tertentu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Na’imah mengesahkan satu laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong mana-mana gerakan bagi menggugat pentadbiran negara.

Menurutnya, individu yang membuat laporan itu sebelum ini pernah diambil bekerja sebagai anggota pasukan komunikasi yang dicadangkan, namun perkhidmatannya ditamatkan kerana prestasi tidak memuaskan.

“Selepas khidmatnya ditamatkan, beliau cuba membuat tuntutan kewangan tambahan. Jelas sekali ini adalah tingkah laku seorang lelaki yang tidak berpuas hati,” katanya.

Na’imah turut mempersoalkan masa laporan itu dibuat iaitu tujuh bulan selepas mesyuarat yang didakwa berlaku serta ketika kerajaan sedang berdepan apa yang disifatkannya sebagai antara skandal terbesar.

Beliau mendakwa laporan berkenaan bertujuan mengalih perhatian daripada gesaan supaya Azam Baki yang sudah tiga kali mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berundur daripada jawatannya.

Na’imah juga mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh digulingkan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam, sambil menegaskan bahawa mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.

“Akhir sekali, adalah tidak munasabah untuk menyimpulkan pendedahan rasuah dan salah guna kuasa pada peringkat tertinggi kerajaan sebagai percubaan menjatuhkan kerajaan.

“Saya mengekalkan semua hak perundangan saya terhadap dakwaan palsu dan merosakkan ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button