BERITA SEMASABISNES & EKONOMIINISIATIF KERAJAAN

MyKiosk lonjak usahawan wanita: Dari gerai jalanan ke kios bertauliah halal

KUALA LANGAT – Bermula dengan hanya menjaja minuman di tepi jalan pada tahun 2016, Nurul Khatimah, 38, kini melangkah lebih jauh dalam dunia keusahawanan hasil sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi inisiatif MyKiosk.

Menurut Khatimah, dia mengetahui mengenai MyKiosk melalui persatuan penjaja di kawasan tempat tinggalnya dan kemudiannya membuat permohonan melalui Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Jelasnya, proses permohonan sangat mudah sekiranya seseorang mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan mempunyai dokumen lengkap seperti lesen perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta suntikan tifoid.

“Saya bermula dengan menjual kopi ‘pickup’ sahaja kerana ruang sangat terhad ketika berniaga secara menjaja.

“Walau bagaimanapun selepas saya menerima kiosk daripada MPKL pada 2024, saya dapat menambah pelbagai jenis menu termasuk ice blended, air balang dan puluhan jenis kopi,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Khatimah menambah, peralihan kepada MyKiosk telah memberi impak besar terhadap kelangsungan perniagaannya kerana sebelum ini dia perlu membuka dan menutup gerai setiap hari serta mengangkut barang, namun kini dia dapat menyimpan stok dengan lebih mudah sekali gus menjimatkan masa dan tenaga.

“Saya hanya perlu bayar sewa bulanan serendah RM150 dan ianya amat berpatutan. Bagi pembaharuan lesen setahun sekali. Tiada caj tersembunyi,” tambahnya.

Jelas Khatimah, yang juga merupakan pemilik Little Cat Coffee Cafe, lokasi strategik berhampiran sekolah turut menyumbang kepada peningkatan hasil jualan.

“Saya percaya inisiatif MyKiosk wajar diteruskan dan ditambah baik, mungkin dari segi kemudahan air dan elektrik yang masih belum tersedia sepenuhnya,” katanya lagi.

MyKiosk
Dengan ruang niaga yang selesa dan lengkap menerusi inisiatif MyKiosk, Khatimah kini mampu menjual minuman dengan lebih efisien, termasuk bancuhan kopi istimewa untuk pelanggannya. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Namun pencapaian terbesarnya ialah apabila dia menjadi satu-satunya peniaga MyKiosk yang berjaya memperoleh Sijil Halal JAKIM bagi premis makanan hasil inisiatif Platform Selangor (PLATS), inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu penjaja kecil.

“Saya amat bangga dengan diri saya, dapat siapkan dokumentasi halal tanpa satu kesalahan pun,” ujar Nurul Khatimah Azmi.

“Saya bermula menyertai kelas bimbingan halal pada September 2024. Prosesnya tidaklah terlalu sukar jika kita benar-benar komited. Yang penting, kita ikut SOP halal JAKIM,” jelasnya, yang mengambil masa hampir 9 bulan untuk mendapatkan pengiktirafan halal.

Bagi Nurul, sijil halal bukan sekadar lambang kebersihan tetapi melibatkan keseluruhan aspek termasuk bahan mentah, pemakaian, dokumentasi, SOP peralatan dan cara pengendalian makanan.

“Ramai ingat kalau peniaga tu Muslim, tak perlu halal. Tapi kita tak tahu bahan mentah tu dari mana. Mesin pun kita tak tahu sama ada pernah digunakan untuk bahan tidak halal. Sebab itu sertu sangat penting,” katanya.

MyKiosk
Khatimah menegaskan tanggapan negatif terhadap MyKiosk selalunya berpunca daripada maklumat yang tidak sahih. Dia menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat terus dari sumber rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan persepsi. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Pada masa yang sama, Khatimah turut menolak persepsi negatif sesetengah pihak terhadap inisiatif MyKiosk yang didakwanya berpunca daripada andaian dan cerita tidak berasas.

Justeru, dia menyarankan orang ramai supaya mendapatkan maklumat secara langsung dengan menghadiri program dan bertanya terus kepada pegawai bertugas, dan tidak hanya bergantung kepada maklumat yang disebarkan melalui cakap-cakap orang.

Baca juga : MyKiosk bukan projek gajah putih – Kor Ming

“Saya ucapkan terima kasih kepada KPKT atas peluang dan sokongan yang diberikan dan berharap agar inisiatif MyKiosk dapat diteruskan dengan penempatan lebih banyak kiosk di lokasi-lokasi strategik bagi memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button