Mufti Terengganu ingatkan orang ramai waspada cabutan bertuah berunsur judi
KUALA TERENGGANU – Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran cabutan bertuah yang semakin rancak dipromosikan, khususnya menerusi platform digital sekiranya ia mengandungi unsur perjudian, penipuan atau eksploitasi terhadap pengguna.
Mufti Terengganu, Prof Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar berkata, masyarakat perlu memahami hukum syarak sebelum menyertai sebarang bentuk cabutan bertuah kerana kaedah pelaksanaannya mestilah selaras dengan prinsip syariah.
Menurut beliau, peningkatan promosi cabutan bertuah kebelakangan ini menuntut pengguna supaya lebih berhati-hati dan menilai sama ada sesuatu program itu bebas daripada unsur yang dilarang dalam Islam.
“Sesuatu cabutan bertuah perlu bebas daripada unsur perjudian (maysir), ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil,” katanya ketika mengulas trend semasa penganjuran cabutan bertuah termasuk yang dilaksanakan menerusi platform digital.
Beliau menjelaskan, cabutan bertuah dikategorikan sebagai haram sekiranya penyertaan mensyaratkan peserta membayar yuran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu semata-mata untuk melayakkan diri memenangi hadiah.
Katanya, hukum yang sama turut terpakai jika penganjur menaikkan harga produk atau perkhidmatan secara tidak munasabah bagi menampung kos hadiah yang ditawarkan.
“Bagaimanapun, cabutan bertuah diharuskan sekiranya penyertaan tidak melibatkan sebarang bayaran tambahan dan harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kekal pada harga pasaran sebenar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


















