MOT bakal kuatkuasa pemasangan speed limiter
MOT bakal kuatkuasa pemasangan speed limiter
GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan akan memperketat penguatkuasaan terhadap pemasangan pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat seperti bas dan lori, susulan tragedi kemalangan maut membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara langkah yang dipertimbangkan termasuk mewajibkan pemasangan kamera video dalam kenderaan berat (on-board camera) bagi memantau dan meningkatkan tahap keselamatan, meskipun pelaksanaannya masih dalam kajian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati antara punca utama kemalangan melibatkan kenderaan berat ialah kelajuan berlebihan selepas pengehad kelajuan yang dipasang telah diubah suai atau dibuang.
“Kita lihat bahawa antara punca yang selalu berlakunya (kemalangan) jalan raya ini ialah kenderaan berat termasuk lori, bas, dan sebagainya dipandu laju, jadi sekarang ada teknologi, iaitu ‘speed limiter’, peranti dipasang dalam kenderaan untuk menghalang mereka daripada memecut lebih daripada had kelajuan.
“Cabaran kita hadapi kebanyakannya buat ‘tempered’, iaitu mengubah suai dengan memasang ketika pemeriksaan di Puspakom, tetapi selepas itu mereka buang, ini yang kita nak lihat penguatkuasaan mandatori dan peraturan lebih tegas untuk pastikan tiada ‘tempering’,” katanya menurut Bernama.
Jelas Loke lagi, kementerian sedang mencari pendekatan terbaik untuk memastikan peranti itu tidak dimanipulasi serta menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat selepas pelaksanaannya diwajibkan.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh isu pematuhan pemasangan tali pinggang keledar dalam bas penumpang.
Katanya, meskipun bas yang dikeluarkan mulai tahun 2020 diwajibkan mempunyai tali pinggang keledar bagi setiap tempat duduk, bas yang terlibat dalam kemalangan itu dibina pada 2013 dan tidak memenuhi syarat berkenaan.
“Walaupun undang-undang mewajibkan pemasangan tali pinggang keledar pada bas baharu, kita menghadapi cabaran dari segi pematuhan penumpang. Justeru, kita sedang mengkaji kaedah untuk mewajibkan semua penumpang memakainya sebelum kenderaan dibenarkan bergerak.
“Sebagai contoh, dalam kereta, sistem akan mengeluarkan bunyi amaran jika tali pinggang tidak dipakai. Ciri seperti ini mungkin boleh diwajibkan dalam bas bagi memastikan keselamatan semua penumpang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


