BISNES & EKONOMIRENCANA

Minyak Zaitun Extra Virgin: Jangan tertipu helah pemasaran produk premium

MINYAK zaitun telah lama diiktiraf sebagai antara makanan paling berkhasiat di dunia, khususnya dalam diet negara di Mediterranean.

Kaya dengan antioksidan, lemak tidak tepu tunggal dan khasiat anti-radang, minyak zaitun terutama dalam kategori Extra Virgin Olive Oil (EVOO) bukan sahaja baik untuk dimakan bahkan turut dimanfaatkan dalam bidang perubatan tradisional dan penjagaan kesihatan.

Namun, permintaan yang tinggi terhadap produk ini telah membuka ruang kepada penipuan dalam pasaran.

Minyak zaitun dalam kategori Extra Virgin Olive Oil (EVOO) bukan sahaja baik untuk dimakan tetapi juga dimanfaatkan dalam bidang perubatan tradisional dan penjagaan kesihatan.

Minyak zaitun yang tidak asli atau telah dicampur dengan minyak lain yang berkualiti rendah, kini semakin melambak dan dijual seolah-olah ia produk premium.

Situasi ini bukan sahaja menjejaskan hak pengguna malah boleh memberi risiko kesihatan yang serius jika tidak ditangani segera.

Malaysia Olive Oil Summit 2025

Bagi merungkai isu kritikal ini, Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Olive Jardin Sdn. Bhd. baru-baru ini menganjurkan Malaysia Olive Oil Summit 2025.

Persidangan tersebut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri minyak zaitun negara, termasuk pengusaha, pemasar, pengguna, ahli akademik dan penggubal dasar, bagi membincangkan isu keselamatan dan kualiti minyak zaitun di pasaran.

Penganjuran program itu merupakan lanjutan daripada penyelidikan yang dijalankan antara Fakulti Perubatan UniSZA bersama Olive Jardin sepanjang tahun 2024.

Dr. Noor Azlina membentangkan hasil kajian mengenai ketulenan dan kandungan minyak zaitun jenis EVOO pada Malaysia Olive Oil Summit 2025, baru-baru ini.

Fokus penyelidikan tertumpu kepada manfaat kesihatan minyak zaitun terutamanya jenis extra virgin early harvest, seperti Zouitina Prestige EVOO (ZPEVOO) yang dipasarkan oleh Olive Jardin Sdn. Bhd.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan UniSZA merangkap Penyiasat Utama (PI) kajian, Dr. Noor Azlina Abu Bakar, terdapat beberapa penemuan penting yang perlu diketengahkan kepada masyarakat hasil daripada kajian itu khususnya berkaitan kualiti dan keselamatan minyak zaitun di pasaran tempatan.

“Kajian melibatkan perbandingan beberapa produk minyak zaitun yang dilabelkan sebagai EVOO A dan EVOO B.

“Kesemua sampel dihantar ke makmal di Sepanyol yang diiktiraf oleh International Olive Council (IOC) untuk menjalani dua jenis ujian penting iaitu analisis fizikokimia dan penilaian organoleptik,” ujarnya.

Tambah beliau, hasil ujian mendapati salah satu sampel, iaitu sampel B, tidak memenuhi piawaian kualiti EVOO sebenar walaupun tiga parameter utama dalam analisis fizikokimia berada dalam julat EVOO.

Lebih mengejutkan katanya, beberapa parameter dan hasil penilaian rasa menunjukkan bahawa produk tersebut sebenarnya tergolong dalam kategori Lampante Olive Oil (LOO), iaitu gred minyak yang tidak selamat untuk dimakan secara langsung mengikut definisi IOC dan Kesatuan Eropah (EU).

“Minyak gred LOO perlu melalui proses penapisan untuk menjadi Refined Olive Oil (ROO) sebelum selamat untuk dimakan.

“Pengambilan minyak ini secara langsung boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” katanya lagi.

Beliau menambah, isu pemalsuan label minyak zaitun bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah menjadi masalah global yang sering dilaporkan dalam pelbagai kajian dan laporan media antarabangsa.

Maka katanya, kesedaran pengguna mengenai perkara itu amat penting bagi mengelakkan penipuan yang membawa risiko kesihatan.

Selain isu kualiti, kajian turut membuktikan bahawa hanya EVOO tulen dari tuaian awal (early harvest) yang memberikan manfaat kesihatan sebenar.

Sebaliknya, minyak dari gred LOO bukan sahaja tidak membawa manfaat, malah boleh memudaratkan.

Pengguna perlu mengetahui keaslian minyak zaitun bagi mengelakkan mereka ditipu dengan produk tiruan di pasaran.

Persidangan itu turut menampilkan beberapa tokoh ilmuwan sebagai panel utama, antaranya Datuk Dr. Anhar Opir; Dekan Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff.

Turut serta, Dr. Noor Azuin Suliman yang membincangkan kesan pengambilan Lampante Olive Oil (LOO) kepada kesihatan dan Dr. Suhana Samat yang membincangkan aspek aroma, tekstur dan rasa minyak zaitun mengikut variasi tuaian.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Olive Jardin Sdn. Bhd, Muhd Shakir As-Salam, yang menyatakan komitmen syarikatnya dalam memastikan kualiti produk minyak zaitun yang tulen dan selamat sampai ke tangan pengguna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button