METMalaysia ramal angin kencang, hujan lebat di beberapa negeri
KUALA LUMPUR – Kawasan perairan beberapa negeri termasuk Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor Timur, Sarawak dan Sabah dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga pukul 1 tengahari ini.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
Sementara itu, METMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua di kawasan perairan negara yang berisiko kepada aktiviti laut.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.
Sementara itu, hampir 19 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Nenggiri dan Sungai Kelantan dijangka mengalami banjir bermula Selasa hingga Jumaat ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataannya berkata, amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh METMalayasia.
Menurut kenyataan JPS, kampung yang dijangka terjejas di kawasan Sungai Nenggiri, daerah Gua Musang ialah Kampung Pasir Tumboh Lama, Kampung Kala, Kampung Jeram Tekoh, Kampung Dalam Lah, Kampung Kuala Betis, Kampung Kuala Sungai, Kampung Bertam Lama, Kampung Bertam Baru dan Kampung Pasir Tumbuh Baru.
Sementara itu, kampung-kampung berhampiran Sungai Kelantan di daerah Machang yang dijangka dilanda banjir pula termasuk Kampung Pasir Senor, Kampung Kerilla, Kampung Kuala Hau, Kampung Temangan Lama, Temangan, Kampung Pauh, Kampung Telok Choh, Kampung Belukar Panjang, Kampung Bukit Besi, dan Kampung Pertok.
JPS turut memaklumkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dijangkakan.
Amaran tersebut dikeluarkan bagi membolehkan penduduk, terutamanya yang berada di kawasan berisiko banjir, mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




