Mesyuarat tergempar OIC bincang ancaman baharu Israel, Mohamad Hasan ke Jeddah
KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, Isnin ini.
Mesyuarat berkenaan diadakan susulan ancaman terbaharu Israel untuk mengambil alih sepenuhnya Semenanjung Gaza secara paksa serta meneruskan agenda peluasan wilayah “Greater Israel” yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, perbincangan negara anggota dijangka memberi tumpuan kepada isu pembinaan ribuan penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
Selain itu, Mohamad Hasan juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara anggota bagi membincangkan usaha menamatkan kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza, yang kini semakin parah akibat sekatan bantuan kemanusiaan oleh rejim Zionis.
Dalam perkembangan berkaitan, OIC mengecam keras rancangan Israel berkenaan, menyifatkannya sebagai tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam penyelesaian dua negara.
Organisasi itu turut memberi amaran bahawa langkah Israel boleh membawa kepada pengilhakan secara de facto yang akan membunuh hak pembentukan sebuah negara Palestin merdeka.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan visinya untuk memperluas wilayah melampaui Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sehingga ke Jordan, Mesir dan Lubnan, sekali gus mencetuskan kebimbangan besar masyarakat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








