BERITA SEMASADALAM NEGERI

Program MEKAR berjaya urus 24,863 permohonan – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Pendekatan turun padang melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuahkan hasil apabila sebanyak 24,863 permohonan berjaya diuruskan setakat 31 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menerusi program tersebut, orang ramai tidak perlu hadir ke pejabat JPN, sebaliknya pegawai turun sendiri ke lapangan bagi membantu mereka yang berdepan kekangan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Program MEKAR ni adalah program outreach Jabatan Pendaftaran. Kita tolong orang untuk dapatkan kad pengenalan. Bukan dengan tunggu dia datang ke pejabat, kita pergi keluar cari dia.

“Sehingga 31 Julai tahun ini, kita telah pun mengadakan 1,633 program MEKAR di seluruh negara. Daripada situ hasilnya adalah 24,863 permohonan telah berjaya kita uruskan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2025 dan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata,
dalam banyak-banyak program di bawah inisiatif MEKAR, beliau menekankan kepentingan segmen MEKAR Didik yang menyasarkan pelajar sekolah yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Tambah beliau, kebanyakan kes melibatkan kelewatan mendaftar kelahiran, adalah seperti masalah keluarga termasuk bapa yang dipenjara akibat kes dadah, atau ibu yang tidak mempunyai kenderaan serta menghadapi kekangan kewangan untuk ke pejabat pendaftaran.

“Jadi di bawah program MEKAR Didik, khusus kita target anak-anak sekolah yang kategori macam ni. Dan saya luncurkan ni pada November 2024 dengan kita telah membantu 12,101 pelajar yang telah berjaya kita uruskan dokumen untuk mereka,” katanya.

MEKAR Diaspora mudahkan urusan rakyat di luar negara

Selain itu, Saifuddin memaklumkan JPN kini meluaskan skop program MEKAR ke peringkat antarabangsa melalui segmen MEKAR Diaspora,m bagi membantu rakyat Malaysia bermastautin di luar negara untuk menyelesaikan urusan dokumentasi tanpa perlu pulang ke tanah air.

“Kita pernah buat di Arab Saudi, ramai rakyat Malaysia yang tinggal bergenerasi di sana. Kita pernah buat tahun lepas di Amerika Syarikat. Dan bagi tahun ini, ikut jadual kami adalah kami akan berada di Australia pula, iaitu di Melbourne pada 14 hingga 28 September, diikuti dengan London, 5 hingga 17 Oktober,” katanya.

Tegas Saifuddin, kaedah tersebut lebih menjimatkan kos berbanding rakyat Malaysia yang perlu pulang ke negara untuk berurusan dengan JPN.

“Kita pergi kan, bawa pegawai JPN ke sana untuk satu tempoh. Semua rakyat Malaysia yang tinggal di negara berkenaan, kalau dia ada masalah dokumentasi, mereka tak payah balik dengan kos yang besar. Tapi kita pergi,” katanya.

Menurutnya, antara urusan yang sering dilakukan dalam program itu termasuk penukaran MyKid kepada MyKad, menggantikan kad pengenalan hilang, atau urusan yang tertangguh sejak lahir.

Saifuddin menjelaskan, program tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada ratusan rakyat Malaysia di luar negara, dengan sasaran sekitar 400 permohonan di setiap lokasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button