Mekanik parah, kaki putus dipercayai akibat letupan bom buatan sendiri
TANAH MERAH – Seorang mekanik cedera parah apabila kaki kanannya putus dipercayai akibat letupan bom buatan sendiri dalam kejadian di sebuah bengkel di Kampung Air Merbo Dalam, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, lelaki berusia 31 tahun berkenaan mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Difahamkan, bahan letupan berkenaan dipercayai dibuat sendiri menggunakan komponen pendingin hawa kereta dan digunakan bagi aktiviti menangkap ikan di sungai melalui kaedah bom ikan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Mat Nuri Muhamad berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati dua kenderaan yang berada di dalam bengkel tersebut turut mengalami kerosakan akibat serpihan letupan.
Menurutnya, kenderaan terlibat ialah Perodua Kancil dan Proton Wira.
Beliau berkata, pihak bomba menerima maklumat daripada polis berhubung kejadian letupan berkenaan sebelum menjalankan siasatan di lokasi.
“Siasatan awal mendapati terdapat kesan pada permukaan tanah yang menyerupai kesan letupan bom. Kejadian itu disyaki berpunca daripada letupan bom buatan sendiri.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati kemungkinan mangsa terpijak sambungan wayar pada bom yang dibuatnya sendiri,” katanya.
Menurut Mat Nuri, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






