BERITA SEMASA

Insiden letupan bom di Tak Bai: Dua rakyat Malaysia yang cedera dipindah ke Kelantan

NARATHIWAT – Dua rakyat Malaysia yang cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terkena letupan bom di Tak Bai, selatan Thailand semalam telah dipindahkan bagi mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di Kelantan, hari ini.

Menurut sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), kedua-dua mangsa iaitu Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, dibawa pulang ke Malaysia pada pukul 8.30 pagi tadi melalui Sungai Golok.

malaysia
Kenderaan Proton X50 yang dinaiki rakyat Malaysia itu mengalami kerosakan teruk akibat letupan tersebut.

Katanya, Unit Keamanan Pasukan Tindakan Khas Santisuk menerima maklumat daripada Hospital Ratchanakarin, Narathiwat bahawa kedua-dua mangsa dibawa menggunakan ambulans menuju ke Sungai Golok sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Kami dimaklumkan bahawa ambulans dari Malaysia menjemput mereka di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Sungai Golok, di sini sebelum dibawa ke Kota Bharu, Kelantan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

BACA JUGA:
Rakyat Malaysia cedera terkena letupan bom

Media semalam melaporkan, dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang mereka naiki terkena letupan bom buatan sendiri yang dipercayai ditanam di tepi jalan berhampiran Persimpangan Sapom, Tak Bai.

Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Daerah Tak Bai untuk menerima rawatan, manakala letupan itu turut mengakibatkan SUV berkenaan mengalami kerosakan teruk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button