BERITA SEMASA

Mayat reput ditemui tergantung di ladang kelapa sawit Trolak

TROLAK – Satu mayat reput ditemui dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Gunung Besout 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 5.13 petang.

Menurut beliau, kejadian itu disedari oleh seorang penduduk yang sedang mencari lembu ternakannya sebelum ternampak mayat tersebut tergantung pada dahan pokok kira-kira 10 meter dari jalan utama ladang berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati mayat tersebut dalam keadaan reput dan tidak berpakaian. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui, namun di sekitar lokasi penemuan terdapat sehelai baju dalam wanita di dalam parit serta sepasang selipar berwarna biru bersaiz 40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, di leher mayat turut ditemukan tali yang dipercayai sebagai rantai ikatan perkahwinan kaum India.

Mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk proses bedah siasat.

Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Polis juga meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara atau rakan agar tampil bagi membantu siasatan dan proses pengecaman.

Bagi mereka yang mempunyai maklumat atau ingin membuat laporan, diminta menghubungi Pemangku Ketua Polis Balai Trolak, Sarjan Mohamad Riza Sahiaren di talian 017-560 3331 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-452 8222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button