GAYA HIDUPRENCANA

Malaysia cipta sejarah di bumi Eropah: Tersenarai Top-10 dalam Pertandingan ECG Dunia

MALAYSIA mengukir nama di persada antarabangsa apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 negara terbaik dalam Pertandingan Electrocardiography (ECG) Dunia Edisi ke-5 baru-baru ini.

Program itu berlangsung serentak dengan Kongres European Heart Rhythm Association (EHRA) pada 30 Mac hingga 1 April 2025 di Vienna, Austria.

Pertandingan berprestij itu melibatkan dua pusingan iaitu pusingan kelayakan secara dalam talian menerusi soalan berbentuk Multiple Choice Questions (MCQ), manakala pusingan akhir berlangsung secara fizikal sempena kongres tersebut.

Malaysia diwakili tiga doktor pakar kardiologi muda iaitu Dr. Lim Lee Yee (kiri), Dr. Raymond Ong Yu Ying (tengah) dan Dr. Chee Wei Shen.

Pasukan Malaysia yang diwakili oleh Pakar Perubatan Kardiologi, Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Dr. Chee Wei Shen dan Dr. Raymond Ong Yu Ying serta Dr. Lim Lee Yee dari Hospital Queen Elizabeth II, Sabah yang berjaya menempah tempat ke pusingan akhir setelah memperoleh keputusan cemerlang dalam pusingan kelayakan.

Menariknya, Malaysia merupakan satu-satunya wakil dari rantau Asia Tenggara yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 negara dengan purata markah tertinggi, bersama-sama negara-negara besar seperti Croatia, Sepanyol, Itali, Hungari, Perancis, Jerman, Republik Czech, Poland dan Switzerland.

Pusingan akhir yang menyaksikan persaingan sengit itu telah menarik kehadiran lebih 200 pakar kardiologi dari seluruh dunia, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Malaysia mengakhiri pertandingan di kedudukan keenam keseluruhan – pencapaian yang cukup membanggakan dalam kalangan negara maju dalam bidang kardiologi.

Pertandingan ini memerlukan setiap kumpulan menjawab 10 soalan dengan pantas berdasarkan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang kardiologi.

Menurut Dr. Raymond, penyertaan Malaysia dalam pertandingan berprestij itu merupakan satu petanda positif terhadap kemajuan bidang perubatan kardiovaskular negara.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pakar-pakar perubatan Malaysia, khususnya dalam bidang kardiologi, mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ia bukan sahaja mengangkat martabat profesional kita, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengasah kemahiran dalam bidang yang kritikal ini,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.

Tambahnya, pertandingan seperti itu bukan sahaja menguji kecekapan teknikal peserta, tetapi juga ketajaman analisis dalam membaca dan mentafsir isyarat ECG yang kompleks, sesuatu yang sangat penting dalam diagnosis penyakit jantung.

“Melalui pertandingan ini, kami perlu menjawab 10 soalan yang dikemukakan dengan pantas berdasarkan pengetahuan yang dimiliki.

Antara doktor pakar kardiologi dari negara luar yang menyertai acara ini.

“Jawapan yang betul dan kepantasan masa untuk menjawab menjadi penentu kedudukan di antara 10 negara terpilih. Ia sesuatu yang sangat mengujakan,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Dr. Lee Yee berkongsi bahawa pertandingan itu merupakan platform terbaik untuk semua peminat ECH dari seluruh dunia berkumpul dan berinteraksi.

“Saya berasa bangga kerana Malaysia berjaya tersenarai dalam kelompok 10 negara terbaik.

“Dan sudah tentu, saya juga amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang mencipta sejarah ini,” ujarnya.

Bagi Dr. Wei Shen pula, secara jujur beliau mengakui tidak biasa bertanding secara berkumpulan.

“Format pertandingan ini agak mencabar kerana memerlukan penyertaan satu pasukan yang lengkap dengan tiga orang ahli.

“Malah, itulah antara sebab mengapa Malaysia tidak dapat menyertai pertandingan tahun lalu kerana salah seorang daripada tiga peserta yang terpilih menarik diri pada saat akhir, sekali gus menyebabkan negara kita hilang kelayakan.

Dr. Raymond (kanan), Dr. Lee Yee (tengah) dan Dr. Wei Shen bangga apabila berjaya menduduki tangga keenam daripada 10 negara terbaik dalam pertandingan tersebut.

“Bagaimanapun tahun ini, kami berjaya membentuk pasukan dan akhirnya layak ke peringkat antarabangsa.

“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini yang mencipta sejarah buat Malaysia.

“Namun, realitinya masih ramai yang belum pernah mendengar tentang negara kita. Malah, ketika kami menyebut ‘Malaysia’, kami terpaksa menyebutnya dengan perlahan agar difahami. Dan lebih kelakar, apabila mereka menyerahkan bendera Malaysia kepada kami, ia dalam keadaan terbalik.

“Walau apapun, ini adalah satu permulaan yang baik untuk Malaysia dikenali di pentas dunia dalam bidang kardiologi. Semoga lebih ramai akan membuka mata selepas ini,” katanya penuh berharap.

Suasana di sekitar Studio EHRA ketika program itu berlangsung di Vienna, Austria pada 30 Mac hingga 1 April lalu.

Dalam pada itu, ketiga-tiga doktor pakar muda itu melahirkan rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada Pakar-Pakar Perunding Kardiologi dari Hospital Sultan Idris Shah dan Hospital Queen Elizabeth II.

Antaranya ialah Datuk Dr. Abd Kahar Abd Ghapar, Datuk Dr. Asri Ranga Abdullah Ramaiah, Dr. Kamaraj Selvaraj, Dr. Raqib Abdul Ghani, Dr. Halwani Habizal dan Dr. Liew Houng Bang di atas nasihat dan dorongan yang diberikan untuk mereka mencapai tahap kejayaan tersebut.

Apa yang pasti, kejayaan yang diraih itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pakar kardiologi muda untuk menyertai pertandingan seumpama ini di masa hadapan.

Ia sekali gus mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara terbaik dalam bidang kardiologi dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button