Majoriti penyokong EPL tolak VAR, dakwa jejaskan pengalaman perlawanan
LONDON – Majoriti besar penyokong Liga Perdana Inggeris (EPL) menolak penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan dakwaan teknologi itu menjejaskan pengalaman menonton serta merencatkan detik spontan dalam perlawanan.
Menurut satu tinjauan oleh Persatuan Penyokong Bolasepak (FSA), lebih 75 peratus penyokong EPL tidak menyokong penggunaan VAR secara berterusan dalam saingan liga berkenaan.
Tinjauan itu melibatkan hampir 8,000 penyokong daripada 20 kelab yang beraksi dalam EPL musim ini, dengan majoriti responden terdiri daripada penonton tetap yang menghadiri sekurang-kurangnya 15 perlawanan setiap musim.
Daripada jumlah tersebut, 90 peratus tidak bersetuju bahawa pengenalan VAR meningkatkan pengalaman pada hari perlawanan, manakala 91 peratus berpendapat teknologi itu menjejaskan kegembiraan spontan ketika meraikan jaringan.
Sebanyak 94 peratus pula tidak bersetuju VAR menjadikan tontonan bola sepak di televisyen lebih menyeronokkan.
Pengurus rangkaian Liga Perdana FSA, Thomas Concannon berkata, hasil tinjauan itu jelas menunjukkan majoriti penyokong mahu VAR dimansuhkan.
“Keputusan ini menunjukkan kebanyakan penyokong mahu VAR dihapuskan. Kita sudah lama hidup dengan teknologi ini dan dapat melihat kesan negatifnya terhadap permainan.
“Penyokong kecewa dengan tempoh masa yang diambil, ketepatan keputusan serta kehilangan elemen spontan dalam permainan.
“Ia menjejaskan apa yang sepatutnya menjadi keindahan bola sepak dan detik-detik istimewanya,” katanya.
Dalam pada itu, EPL dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengiktiraf kepentingan untuk meminimumkan kesan VAR terhadap pengalaman penyokong.
Menurut EPL, hasil penyelidikan mereka menunjukkan sebahagian besar penyokong masih menyokong penggunaan VAR, namun mahu penambahbaikan dilakukan terhadap cara ia digunakan.
Concannon berkata, perbincangan mengenai mutu pengadilan kini semakin kerap walaupun VAR diperkenalkan untuk meningkatkan ketepatan keputusan.
“Kelab dan liga mahu memastikan setiap keputusan tepat kerana melibatkan kepentingan besar, namun ia sukar diterima penyokong apabila jaringan dibatalkan hanya disebabkan ofsaid yang terlalu kecil.
“Jika VAR tidak mempercepatkan permainan dan masih menimbulkan kontroversi, itu sebabnya penyokong membuat keputusan seperti ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kurang separuh responden berpendapat pengumuman keputusan pengadil melalui sistem pembesar suara di stadium memberi penambahbaikan, manakala majoriti menyatakan ia tidak membantu menjelaskan proses membuat keputusan dengan lebih baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








