Majlis Kepimpinan SRN IPT Kebangsaan perkasa agenda perpaduan kampus
KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Kepimpinan Sekretariat Rukun Negara (SRN) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kebangsaan dicadangkan sebagai platform penyelarasan rasmi antara semua IPT seluruh negara, sekali gus memperkukuh agenda perpaduan nasional di peringkat kampus.
Cadangan itu disuarakan sempena Konvensyen Sekretariat Rukun Negara (SRN) 2025 anjuran Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), yang disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurut Aaron, Majlis Kepimpinan SRN IPT Kebangsaan bakal menjadi wadah libat urus strategik yang menghubungkan mahasiswa dengan kementerian serta agensi perpaduan, sekali gus mengukuhkan kesinambungan gerakan kenegaraan dalam kalangan generasi muda.
“Peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial tidak lagi bersifat pilihan, tetapi menjadi suatu keperluan strategik dalam memacu masa depan perpaduan negara.
“Mahasiswa perlu menyemai nilai faham, hormat dan terima iaitu nilai teras yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan konvensyen tersebut hari ini.
SRN yang ditubuhkan pada 2008 berperanan sebagai mekanisme kerajaan untuk memupuk dan memperkukuh jati diri mahasiswa melalui pembudayaan Rukun Negara.
Sehingga kini, terdapat 193 SRN di institusi pendidikan tinggi seluruh negara.

Konvensyen SRN 2025 yang menghimpunkan kira-kira 350 barisan kepimpinan SRN seluruh negara turut menjadi medan strategik bagi memperkukuh jaringan, memperkasa peranan mahasiswa sebagai ejen perpaduan serta menyemarakkan aspirasi Malaysia MADANI secara bersepadu dan berimpak tinggi.
Pelbagai program diadakan sepanjang konvensyen termasuk Diskusi Perpaduan: Aku Negaraku, Perkongsian Amalan Terbaik SRN, Persidangan Media Sosial vs Belia Masa Kini dan Persidangan Pemerkasaan Kepimpinan SRN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








