Mahkamah Tinggi perintah kerajaan Malaysia, PDRM bayar ganti rugi RM3 juta kepada isteri aktivis
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi KL hari ini memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM3 juta kepada isteri aktivis Amri Che Mat, apabila memutuskan kedua-dua pihak itu bertanggungjawab secara tidak langsung ke atas kehilangan individu terbabit.
Hakim Su Tiang Joo turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara (AG) setiap dua bulan, lapor Kosmo.
“Saya mendapati terdapat kekurangan usaha untuk memastikan keluarga Amri dimaklumkan mengenai kehilangannya dan pengkelasan kehilangan Amri yang salah kerana sepatutnya diklasifikasikan sebagai penculikan dan bukannya orang hilang,” katanya.
Isteri Amri iaitu Noorhayati Mohd Ariffin sebelum ini memfailkan saman terhadap kerajaan, polis dan empat yang lain pada 18 November 2019 dan menuntut ganti rugi teruk dan teladan atas kerugian yang dialaminya akibat kehilangan Amri pada tahun 2016.
Dia pada mulanya memfailkan saman terhadap 21 defendan. Namun sebelum membaca penghakiman hari ini, mahkamah mengesahkan dengan peguam Noorhayati, Surendra Ananth, bahawa dia telah menggugurkan saman terhadap 15 individu, termasuk Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan Menteri Dalam Negeri antara 16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018.
Tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan kehilangan Amri yang hilang masih berterusan hingga kini.
Saifuddin memberitahu, pihaknya memberi jaminan bahawa siasatan yang dilaksanakan oleh PDRM untuk mengesan mangsa dan suspek yang bertanggungjawab dibuat dengan telus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















