LUAR NEGARA

Trump tamatkan pertemuan dengan pemimpin Arab, dunia Muslim tanpa pengumuman besar

NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamatkan pertemuan berprofil tinggi bersama pemimpin Arab dan dunia Muslim tanpa sebarang pengumuman besar.

Sebelum pertemuan khas itu diadakan, Trump menggambarkannya sebagai langkah penting untuk menamatkan perang di Tebing Gaza.

“Perang ini telah berlarutan terlalu lama dan kami mahu ia berakhir,” katanya, sambil menambah bahawa pelan yang dicadangkan tersebut turut memberi keutamaan kepada pembebasan tebusan yang ditawan ketika serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Agensi berita rasmi Emiriah Arab Bersatu (WAM) melaporkan, pertemuan tersebut menumpukan kepada usaha mendapatkan gencatan senjata kekal, membebaskan tebusan, serta menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Antara yang terlibat dalam pertemuan khas itu termasuk pemimpin dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan.

Utusan khas Trump, Steve Witkoff hanya mengangkat ibu jari sebagai isyarat positif apabila ditanya wartawan mengenai hasil mesyuarat, namun presiden sendiri memilih untuk berdiam diri.

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan antara pengkritik paling lantang terhadap Israel, bagaimanapun menyifatkan pertemuan itu sebagai “sangat berjaya”.

Beliau memberitahu wartawan bahawa satu deklarasi bersama akan dikeluarkan tetapi tidak menghuraikan kandungannya.

Pertemuan itu berlangsung pada saat genting bagi usaha diplomasi AS di Asia Barat, ketika Trump berusaha menggunakan pengaruh Washington bersama rakan Arabnya untuk mendorong ke arah satu gencatan senjata dalam konflik Israel-Hamas yang masih belum menemui penamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button