LUAR NEGARA

Majlis Keselamatan PBB sokong Pelan 20 Perkara Trump untuk Gaza, Russia dan China berkecuali

NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan satu resolusi penting berkaitan masa depan Gaza, sekali gus menandakan perkembangan diplomatik terbaharu dalam usaha meredakan konflik di wilayah bergolak itu.

Resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) itu memberi sokongan kepada pelan damai 20 perkara Presiden Donald Trump yang sebelum ini dibentangkan sebagai rangka penyelesaian jangka panjang pasca perang di Gaza.

Pelan Trump tersebut yang mendapat perhatian antarabangsa sejak dibentangkan beberapa minggu lalu, antara lain menekankan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) serta penyusunan semula struktur keselamatan di Gaza selepas perang antara Israel dan Hamas yang meletus pada 2023.

Menurut laporan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), resolusi itu diluluskan sebulat suara tanpa undian menentang dengan 13 negara termasuk Britain, Perancis dan Somalia menyatakan sokongan. Russia dan China pula mengambil pendirian berkecuali.

Antara kandungan utama pelan tersebut ialah penubuhan ISF yang menurut AS akan disertai beberapa negara, namun identiti negara berkenaan tidak didedahkan.

Draf resolusi menjelaskan bahawa peranan ISF merangkumi usaha penyahtauliahan senjata secara kekal terhadap kumpulan bersenjata bukan negara termasuk Hamas serta melindungi orang awam dan memastikan kelancaran laluan bantuan kemanusiaan.

Pelaksanaan pelan itu mensyaratkan Hamas menyerahkan semua senjata mereka, satu tuntutan utama dalam rangka damai yang dicadangkan Trump.

Selain itu, resolusi turut membenarkan ISF bekerjasama rapat dengan Israel dan Mesir serta menyeru penubuhan pasukan polis Palestin baharu yang terlatih untuk mengambil alih tugas keselamatan di Gaza.

Pada masa ini, pasukan polis di Gaza masih beroperasi di bawah pentadbiran Hamas.

Bagaimanapun, Hamas menolak resolusi itu dan menyifatkannya sebagai gagal memenuhi tuntutan serta hak rakyat Palestin.

Dalam kenyataan di Telegram, kumpulan itu menyatakan bahawa pelan tersebut memaksakan mekanisme kawalan antarabangsa terhadap Gaza serta memberikan kuasa kepada pasukan luar untuk melucutkan senjata kumpulan penentang.

“Ia memberi tugas dan peranan kepada pasukan antarabangsa di Gaza termasuk melucutkan senjata penentang, melucutkan sifat berkecualinya dan menjadikannya entiti yang memihak kepada pendudukan (Israel),” kata Hamas dalam kenyataan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button