Liverpool benam Newcastle 3-2 hasil sentuhan emas Rio Ngumoha
NEWCASTLE – Liverpool bangkit menundukkan Newcastle United 3-2 dalam aksi mendebarkan Liga Perdana Inggeris di St James’ Park apabila pemain muda sensasi, Rio Ngumoha menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-100.
Perlawanan bermula tegang dengan tuan rumah yang beraksi penuh semangat di depan lebih 50,000 penyokong. Namun, Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi rembatan padu Ryan Gravenberch dari luar kotak penalti.

Keadaan bertambah buruk buat Newcastle selepas Anthony Gordon dilayangkan kad merah kerana terjahan keras terhadap Virgil van Dijk, sekali gus memaksa pasukan itu beraksi dengan 10 pemain.
Hugo Ekitike kemudian menggandakan kedudukan sebaik babak kedua bermula dengan penyudah tenang hasil hantaran Cody Gakpo.
Bagaimanapun, skuad kendalian Eddie Howe tidak mengalah apabila Bruno Guimaraes menanduk masuk gol pertama, sebelum William Osula menyamakan kedudukan hasil situasi kelam-kabut di hadapan gawang Liverpool.
Ketika perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Ngumoha tampil sebagai penyelamat apabila menyudahkan hantaran Mohamed Salah dengan rembatan melengkung ke penjuru gol, hanya beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-17.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil kerja keras berpasukan.
“Saya sangat gembira untuk Rio. Dia perlu kekal merendah diri dan terus bekerja keras. Newcastle juga bermain dengan baik, tetapi yang penting kami membawa pulang tiga mata,” katanya memetik Liverpool Echo.
Sementara itu, kapten Newcastle, Guimaraes mempertahankan rakan sepasukannya yang dibuang padang.
“Dia terlalu bersemangat untuk membantu pasukan. Kadang-kadang bila terlalu ghairah, kesilapan boleh berlaku. Kami akan belajar daripada situasi ini,” jelasnya lagi.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool sebaris dengan Tottenham Hotspur dan Arsenal yang turut mengutip mata maksimum selepas dua perlawanan, manakala Newcastle masih tercari-cari kemenangan pertama musim ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








