JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditahan disyaki cabul juruwang pasar raya dengan helah tanya lokasi barang

TAWAU – Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang juruwang wanita di sebuah pasar raya di pusat bandar ini dengan berpura-pura bertanyakan lokasi barang.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari semalam, mangsa berusia 20 tahun yang sedang bertugas didatangi suspek sebelum diminta menunjukkan lokasi barang yang ingin dibelinya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asistan Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa kemudian membawa lelaki itu ke bahagian rak sabun bagi menunjukkan lokasi barangan dimaksudkan.

Menurutnya, sebaik mangsa mahu beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluk wanita berkenaan sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya.

“Suspek juga bertindak tidak senonoh dengan menyentuh bahagian tubuh mangsa sebelum wanita itu berjaya melepaskan diri.

“Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera tampil membuat laporan polis dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menyerbu sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut pada pukul 5.30 petang semalam.

Katanya, polis turut merampas beberapa helai pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button