BERITA SEMASALUAR NEGARA

Patung ‘kulit manusia’ di hentian bas cetus panik di California

CALIFORNIA – Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat selepas tindakannya meletakkan anak patung beruang berdarah yang menyerupai kulit manusia di sebuah hentian bas di kawasan gurun Mojave.

Menurut kenyataan Pejabat Sheriff Daerah San Bernardino, individu yang dikenal pasti sebagai Hector Corona Villanueva, 23, itu ditahan pada Isnin lalu atas tuduhan mencetuskan kekecohan awam serta menyalahgunakan sumber kecemasan.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Victorville, kira-kira 135 kilometer dari timur laut Los Angeles, selepas pihak berkuasa menerima laporan mengenai objek mencurigakan berhampiran sebuah stesen minyak di Bear Valley Road, sekitar tengah hari Ahad lalu.

“Objek itu merupakan anak patung beruang yang pada awalnya dipercayai diperbuat daripada kulit manusia.

“Penampilannya yang sangat menyerupai tisu daging sebenar. Ia memiliki ciri-ciri manusia seperti bibir, soket mata dan hidung yang dijahit kemas pada permukaan mirip kulit,” katanya.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut oleh pegawai koroner dan pakar patologi forensik mengesahkan objek itu diperbuat daripada bahan lateks sepenuhnya dan tidak melibatkan sebarang tisu manusia.

“Siasatan mendapati anak patung itu dibeli dalam talian melalui laman web yang mendakwa ia diperbuat daripada kulit manusia, namun dakwaan itu disahkan palsu berdasarkan analisis forensik,” jelasnya.

Pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu yang dilihat menyulitkan pengurusan operasi kecemasan.

“Kes sebegini memberi kesan kepada kecekapan operasi kecemasan kerana anggota kami terpaksa dikerah untuk menyiasat sesuatu yang sebenarnya tidak mendesak.

“Ia boleh menyebabkan kelewatan dalam memberi bantuan kepada insiden yang lebih kritikal,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, artis dari Carolina Selatan, Robert Kelly, tampil mengesahkan anak patung tersebut adalah hasil ciptaannya.

“Saya mula dihujani mesej pada malam 13 Julai selepas gambar patung itu tular. Saya tahu itu hasil saya kerana saya sendiri yang membungkus dan menghantarnya,” jelasnya.

Kelly, pengasas kepada jenama Dark Seed Creations, menjelaskan bahawa dia menggunakan acuan daripada kulit manusia sebenar bagi menghasilkan tekstur realistik pada rekaan lateksnya.

“Kami gunakan bahan ini pada pelbagai produk seperti gitar, sofa, dan anak patung beruang. Kebanyakan pelanggan saya ialah pemilik rumah hantu atau penggemar barangan pelik,” jelasnya.

Tiada pengesahan rasmi dikeluarkan berkenaan pendakwaan terhadap Villanueva, namun siasatan terhadap motif tindakannya masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button