Lebih 8,000 pemeriksaan, 155 kes dikesan dalam Ops Tiris 4.0
PUTRAJAYA – Sebanyak 8,148 pemeriksaan dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam tempoh kurang sebulan, dengan 155 kes ketirisan dan penyeludupan barang kawalan berjaya dikesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, operasi bermula 16 Mac hingga 5 April itu turut melibatkan rampasan bernilai jutaan ringgit.
“Daripada jumlah kes direkodkan, 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM2.1 juta, diikuti 47 kes petrol RON95 (RM51,299) dan 21 kes LPG (RM37,822).
“Selain itu, 27 kes membabitkan barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tepung gandum turut direkodkan,” katanya pada sesi Taklimat Harian Krisis Tenaga Global, di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi bersepadu itu dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan dalam memastikan ketirisan dapat dibendung secara menyeluruh.

Tambahnya, mesyuarat susulan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) hari ini juga telah bersetuju dengan beberapa ketetapan.
Ia termasuk menetapkan agensi peneraju utama bagi tiga sektor yang telah dikenal pasti yang meliputi sektor darat yang akan diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Sektor sempadan akan diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sektor perairan akan diterajui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan subsidi diesel nelayan turut diambil sekiranya berlaku penyalahgunaan di samping mempertingkat dan memperkukuh kawal selia ke atas aktiviti bunkering,” jelasnya.
Di samping itu, mesyuarat JTPAP juga bersetuju mewujudkan Pasukan Khas (task force) OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang masing-masing akan dipengerusikan secara bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Beberapa syor strategik hasil daripada mesyuarat ini juga akan dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) secara berkala sebagai langkah tambahan memastikan kestabilan bekalan negara,” katanya.
Tegas Fadillah, kerajaan hari ini amat prihatin terhadap ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
“Kita sedar bahawa situasi ini mempunyai potensi besar untuk menjejaskan rantaian bekalan dunia serta mencetuskan ketidakstabilan harga tenaga dan barangan keperluan utama.
“Namun, saya ingin menegaskan di sini bahawa kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terkesan akibat gangguan bekalan.
“Kita telah memperkukuh kesiapsiagaan melalui langkah-langkah strategik dan bersepadu bagi memastikan keterjaminan bekalan di pasaran tempatan kekal terkawal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















