KPKK sedia terima lawatan EU, tegas komitmen sawit dan koko mampan
KOTA KINABALU – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPKK) sedia menerima kehadiran delegasi Kesatuan Eropah (EU) yang dijangka melawat Malaysia antara September hingga Oktober bagi melihat sendiri pelaksanaan sistem kelestarian dan kebolehkesanan industri sawit negara.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kunjungan itu penting susulan klasifikasi Malaysia sebagai negara “risiko standard” oleh EU di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

“Mereka telah mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), tetapi kita mahu mereka menerima keseluruhan sistem kelestarian dan kebolehkesanan yang kita laksanakan.
“Saya menunggu kehadiran mereka supaya dapat lihat sendiri bagaimana amalan ini dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Koko Malaysia (MICF) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Roslin Azmy Hassan memaklumkan bahawa klasifikasi itu boleh menyebabkan pekebun kecil terkeluar daripada pasaran EU walaupun mematuhi MSPO.
Menurut Johari, kira-kira 85 peratus pekebun kecil kini telah mematuhi pensijilan MSPO, dan kementeriannya sedang berusaha memastikan semua pemain industri, termasuk pekebun kecil, terlibat secara aktif dalam amalan mampan.
“Biarpun tanpa EUDR, banyak produk kita dihantar ke Eropah. Syarikat besar tiada masalah kerana mereka mengawal rantaian nilai lengkap.
“Fokus kita sekarang adalah pekebun kecil agar mereka turut mendapat manfaat pensijilan,” katanya lagi.
Johari turut berkata, sektor koko negara sedang dipacu ke arah pertanian rendah karbon seiring komitmen Malaysia untuk mencapai sifar pelepasan karbon bersih menjelang 2050 dan pengurangan metana sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
“Kita kekalkan liputan hutan pada paras sekurang-kurangnya 50 peratus. Hari ini, Malaysia berada pada tahap 54 peratus. Sebab itu, saya laksanakan dasar tiada pembalakan baharu dan maksimakan tanah sedia ada,” katanya lagi.
Johari berkata, hasil daripada penanaman mampan mampu memberi pulangan lebih tinggi kepada pekebun menerusi harga premium, selain membantu negara mengekalkan kedudukan antara lima negara pengisar koko utama dunia.
“Malaysia kini mengisar sekitar 370,000 tan biji koko setahun, dengan eksport koko dan produk koko meningkat 29 peratus kepada 690,000 tan pada 2024 bernilai RM15 bilion.
“Dalam usaha memperkukuh sektor huluan, pengeluaran biji koko tempatan meningkat 65 peratus daripada 269 tan pada 2023 kepada 445 tan tahun ini.
“Kita kini beri tumpuan kepada koko premium seperti koko berperisa istimewa, koko asli dan koko organik yang mampu menembusi pasaran global berorientasikan kesihatan.
“Ini cara kita untuk letakkan jenama koko Malaysia pada kedudukan tertinggi rantaian nilai global,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






