BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

KPF umum dividen enam peratus, catat keuntungan tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) mengumumkan agihan dividen sebanyak 6 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, melibatkan jumlah keseluruhan RM129 juta kepada 253,371 anggota di seluruh negara.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) KPF Ke-44 yang yang dihadiri 1,207 perwakilan pada 26 Jun lalu.

Lebih membanggakan, KPF turut mencatat rekod keuntungan bersih tertinggi dalam sejarahnya iaitu sebanyak RM141.18 juta, melonjak hampir tiga kali ganda berbanding RM52.78 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Menurut Mohd Banuri, pencapaian cemerlang ini adalah hasil daripada pelaksanaan strategi pelaburan dan perniagaan yang berkesan dalam pelbagai sektor.

Katanya, peningkatan hasil itu membolehkan KPF mengagihkan dividen sepenuhnya berdasarkan keuntungan bersih semasa, sebagai bukti komitmen Lembaga terhadap kebajikan dan kesejahteraan anggota.

“Bayaran dividen akan dibuat secara berperingkat bermula 10 Julai 2025** ke akaun bank anggota yang membuat permohonan lengkap melalui sistem e-Dividen atau secara manual antara 30 Jun hingga 29 Julai 2025,” katanya.

Baca juga : KPF catat pencapaian kukuh, selesaikan permohonan syer secara berfasa

Dalam mesyuarat itu juga, KPF memaklumkan pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan adalah satu langkah proaktif untuk menyusun semula struktur aset secara lebih mampan dan strategik.

Pelan itu antaranya melibatkan penjualan aset perladangan dan hartanah tidak berpotensi serta penstrukturan pelaburan dalam syarikat bersekutu.

“Langkah ini bukan sahaja bertujuan memenuhi permintaan pengeluaran modal syer anggota, malah menjadi strategi jangka panjang bagi memperkukuh kedudukan kewangan KPF,” ujar Banuri.

Sementara itu, rata-rata perwakilan yang hadir menzahirkan kesyukuran dan penghargaan terhadap pengurusan KPF atas peningkatan dividen tahun ini.

Mereka juga menyatakan keyakinan bahawa prestasi gemilang ini akan terus dikekalkan demi manfaat seluruh anggota pada masa akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button