KPDN, Suruhanjaya Sekuriti sertai NSRC tangani penipuan lebih menyeluruh
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menyertai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam usaha memperkukuh tindakan kerajaan membanteras jenayah penipuan kewangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan dua agensi itu akan menjadikan jumlah keseluruhan entiti utama NSRC kepada enam pihak.
“NSRC kini berdepan purata 500 panggilan aduan berkaitan penipuan setiap hari. Maka, kehadiran KPDN dan SC sangat penting. KPDN akan membantu menerusi peranan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), manakala SC akan menyumbang kepakaran berkaitan pelaburan dan transaksi kewangan,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke NSRC di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini hari ini.
Beliau berkata, NSRC kekal diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bakal diperkukuh dengan penambahan 139 jawatan baharu yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri.
“Penubuhan NSRC adalah antara usaha segera kerajaan mengekang kes penipuan dalam talian yang semakin meningkat dan memberi kesan besar kepada rakyat,” katanya lagi.
NSRC ketika ini turut melibatkan kerjasama antara PDRM, BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan serta syarikat telekomunikasi utama.
Saifuddin turut berkata, kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk memindahkan operasi NSRC ke kompleks Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya bagi meningkatkan kecekapan operasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








