BERITA SEMASA

KPDN akan ambil tindakan penarik kereta samseng

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penarik kereta yang berlagak samseng dan mengugut pengguna ketika melaksanakan tugas mereka.

Kenyataan rasmi Bahagian Penguat Kuasa KPDN susulan satu kejadian tular baru-baru ini membabitkan ejen pemilikan semula (EPS) di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Pedas-Linggi.

Menurut kenyataan itu, KPDN sudah mengenal pasti ejen yang terlibat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tindakan penguatkuasaan sudah diambil.

Kata kenyataan itu lagi, pihak kementerian akan membatalkan permit EPS individu dan syarikat yang terlibat kerana melanggar kod etika dan peraturan sedia.

“Mengikut data, sebanyak 3,869 pemegang permit EPS yang sah sudah berdaftar di seluruh negara melalui sistem MyEPS dan mereka tertakluk kepada peraturan ketat yang ditetapkan mengikut Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212),” kata KPDN.

Antara syarat yang perlu dipatuhi termasuklah tidak dibenarkan memasuki premis tanpa keizinan atau tanpa perintah mahkamah, wajib menunjukkan kad pengenalan dan dokumen berkaitan kepada penyewa, memberi masa munasabah untuk penyewa mengeluarkan barangan peribadi, melakukan dokumentasi bergambar keadaan kenderaan dan menyenaraikan inventori serta wajib membuat laporan polis dalam masa 24 jam selepas kenderaan ditarik.

“Sebarang bentuk keganasan atau ugutan semasa proses menarik kenderaan adalah satu pelanggaran serius dan boleh menyebabkan permit ditarik balik serta tindakan undang-undang dikenakan,” katanya lagi.

Selain itu, KPDN berkata, dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 25 Jun 2025, KPDN sudah melakukan 762 pemeriksaan ke atas ejen pemilikan semula dengan empat tindakan kes direkodkan mengikut Akta 212 dan sebanyak 27 aduan diterima sepanjang tempoh itu.

Walaupun jumlah kes tidak tinggi, namun pendekatan pencegahan sentiasa dipergiat, termasuk melalui kempen kesedaran pengguna agar lebih memahami hak mereka semasa berurusan dengan ejen penarik kereta.

“Kami juga menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat melalui inisiatif KITA GEMPUR, termasuk menerusi saluran seperti WhatsApp (019-848 8000), portal e-aduan (eaduan.kpdn.gov.my), pusat panggilan (1-800-886-800) atau aplikasi Ez ADU KPDN,” kata kementerian itu.

KPDN menegaskan bahawa ejen penarik kenderaan yang gagal mematuhi syarat permit dan etika kerja boleh dikenakan tindakan pembatalan permit serta pendakwaan, mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button