Kontroversi pemain warisan: FAM kenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
“FAM mengambil serius perkara ini. Walau bagaimanapun FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang juga merupakan ahli Majlis FIFA telah berada di Zurich, Switzerland hari ini.
Kelmarin, FIFA mengenakan tindakan ke atas FAM selepas mendakwa persatuan itu memalsukan dokumen untuk melayakkan tujuh pemain tertentu dikira sebagai rakyat Malaysia.
Menurut FIFA, FAM didakwa menyerahkan dokumen palsu semasa proses kelayakan, membolehkan pemain tersebut beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun 2025.
Mereka ialah Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Figueiredo, Irazábal dan Hevel.
Setiap pemain dikenakan denda sebanyak 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,570), manakala FAM pula didenda 350,000 franc Swiss (RM1.85 juta).
Selain itu, mereka turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
Kelab-kelab antarabangsa seperti Deportivo Alavés (Garcés), América de Cali (Holgado), Unionistas de Salamanca (Palmero) dan Vélez Sarsfield (Machuca) mengesahkan pemain mereka tidak dibenarkan beraksi buat sementara waktu sehingga keputusan rayuan diumumkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








