LUAR NEGARA

Konflik Asia Barat: Penutupan Selat Hormuz lonjak harga minyak, petrol AS meningkat

WASHINGTON – Ketegangan konflik ketenteraan di Asia Barat menggoncang pasaran tenaga global apabila kebimbangan terhadap keselamatan bekalan minyak menyebabkan harga petrol di Amerika Syarikat (AS) meningkat.

Situasi itu tercetus susulan serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran, yang kemudian dibalas Tehran dengan menutup Selat Hormuz iaitu laluan perkapalan penting bagi perdagangan minyak dunia, lapor agensi berita Anadolu.

Penutupan laluan strategik itu melumpuhkan trafik kapal tangki minyak dan menjejaskan kira-kira satu perlima bekalan minyak global termasuk penghantaran daripada pengeluar utama seperti Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq.

Beberapa loji penapis minyak dilaporkan mengurangkan pengeluaran, manakala sebahagian lain berusaha meningkatkan stok simpanan bagi menghadapi gangguan bekalan.

Harga minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$114 (RM536) setong sejak konflik tercetus dan pernah mencecah AS$120 (RM564) pada Isnin.

Presiden AS, Donald Trump dalam temu bual dengan CBS News berkata, perang itu mungkin berakhir dalam masa terdekat kerana AS didakwa telah mencapai objektif ketenteraannya lebih awal daripada jangkaan empat hingga lima minggu.

Beliau turut mencadangkan Selat Hormuz dirampas bagi menstabilkan bekalan dan menurunkan harga minyak Brent di bawah AS$84 (RM395) setong.

Penganalisis memberi amaran harga minyak boleh melonjak sehingga AS$150 (RM705) setong sekiranya konflik berterusan dan gangguan bekalan tidak dipulihkan.

Menurut Anadolu, setiap kenaikan AS$1 (RM4.70) setong minyak mentah boleh meningkatkan harga petrol di AS sekitar 2.5 sen.

Data Persatuan Automobil Amerika (AAA) pula menunjukkan purata harga petrol di negara itu meningkat 16 peratus kepada AS$3.48 (RM16.36) segelen berbanding AS$2.99 (RM14.05) minggu lalu.

California mencatatkan harga tertinggi sekitar AS$5.20 (RM24.44) segelen, diikuti Washington AS$4.63 (RM21.76) dan Hawaii AS$4.52 (RM21.24), manakala beberapa negeri seperti Arkansas, Missouri, Oklahoma dan Kansas masih mencatatkan harga di bawah AS$3 (RM14) segelen.

Lonjakan harga minyak turut menjejaskan kos diesel dan bahan api jet sekali gus memberi tekanan kepada sektor logistik serta penerbangan.

Penganalisis turut memberi amaran kenaikan harga tenaga berpotensi menjejaskan usaha Rizab Persekutuan (Fed) mengekang inflasi kepada sasaran dua peratus kerana kos bahan api yang meningkat boleh mendorong kenaikan harga makanan dan barangan asas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button