Oleh PROF MADYA DR. NURULIZA ROSLAN & PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR
KODOKUSHI merupakan satu fenomena menyayat hati yang mula mendapat perhatian ramai khususnya di Jepun.
Istilah ini berasal dari bahasa Jepun yang membawa maksud ‘kematian kesunyian’ iaitu keadaan yang mana seseorang meninggal dunia secara bersendirian di rumah tanpa disedari oleh sesiapa pun selama beberapa hari, minggu atau bahkan bulan.
Fenomena ini bukan sekadar kisah menyedihkan tentang kematian tetapi ia melambangkan realiti sosial yang suram.

Ia satu perlambangan kehancuran hubungan kemanusiaan, kekosongan dalam institusi kekeluargaan dan ketandusan nilai kemasyarakatan dalam dunia moden yang serba canggih.
Kodokushi mula dikenal pasti pada lewat 1980-an di Jepun, sewaktu negara itu mengalami krisis ekonomi yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan identiti sosial mereka.
Kebanyakan mereka ialah lelaki berusia yang tidak lagi bekerja, tidak berkahwin dan tinggal bersendirian di rumah kecil di kawasan bandar.
Mereka perlahan-lahan terputus hubungan dengan masyarakat dan akhirnya mati dalam sunyi tanpa sesiapa menyedarinya.
Statistik kajian longitudinal daripada Kementerian Kesihatan Jepun sekitar tahun 2014ā2018 menunjukkan ribuan kes seperti ini berlaku setiap tahun.
Lebih parah lagi adalah pada 2024, Jepun merekodkan 76,020 kes individu mati bersendirian di rumah dengan sebahagian besar berumur 65 tahun atau lebih.
Malah, beberapa pihak berkuasa tempatan di Jepun telah menubuhkan unit khas untuk mengurus mayat yang ditemui dalam keadaan reput di rumah mereka sendiri tanpa waris yang tampil menuntut.
Apa yang lebih membimbangkan ialah fenomena ini tidak lagi terhad kepada Jepun sahaja.
Fenomena Kodokushi juga merebak di beberapa negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Di Singapura, kes warga emas yang meninggal dunia bersendirian di flat kediaman menunjukkan peningkatan.
Pada tahun 2020, kira-kira 700 kes kematian bersendirian dilaporkan manakala pada 2023, statistik dari agensi sosial tempatan menunjukkan hampir 1,000 warga emas hidup bersendirian tanpa sokongan keluarga langsung.
Antara kes yang mendapat liputan ialah seorang lelaki berusia 78 tahun yang ditemui mati selepas dua minggu, hanya disedari apabila jiran mengadu bau busuk.

Bagi menangani isu ini, kerajaan Singapura telah menubuhkan Silver Generation Office (SGO) di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Agensi ini melatih sukarelawan untuk mengunjungi warga emas secara berkala, menjalinkan hubungan sosial dan memastikan mereka tidak terputus dari jaringan komuniti.
Selain itu, Housing Development Board (HDB) juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti Lions Befrienders dan Touch Community Services bagi menjalankan pemantauan sosial ke atas warga emas tinggal bersendirian.
Thailand pula menyaksikan trend yang sama di luar bandar apabila ramai warga emas tinggal bersendirian tanpa keluarga.
Di Indonesia, fenomena ini mula kelihatan di bandar-bandar besar seperti Jakarta dan Surabaya, terutama melibatkan golongan tua dan gelandangan yang terpinggir daripada sokongan sosial.
Di Malaysia, kes-kes yang mirip dengan Kodokushi mula dilaporkan secara berkala.
BACA : Tiga sekeluarga ditemukan meninggal dunia dalam rumah di Seremban
Warga emas atau individu yang tinggal seorang diri dijumpai meninggal dunia dalam rumah mereka, hanya disedari setelah bau mayat yang mereput tersebar ke unit jiran.
Kes-kes seumpama ini pernah berlaku di kawasan perumahan flat kos rendah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Keadaan ini membuktikan bahawa Malaysia juga sedang berhadapan dengan perubahan struktur masyarakat yang ketara.
Gaya hidup moden yang mendorong kepada individualisme, perpindahan anak-anak ke bandar atau luar negara dan keretakan dalam institusi kekeluargaan menyumbang kepada peningkatan kes-kes kematian sunyi yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat yang terkenal dengan nilai kekitaan dan budaya kejiranan.
Dari sudut pandang Islam, kematian seperti ini merupakan cerminan kegagalan masyarakat dalam melaksanakan amanah sosial yang telah digariskan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Islam tidak hanya menekankan hubungan manusia dengan Allah, malah menggagaskan betapa pentingnya hubungan sesama manusia.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaā ayat 36 menegaskan kewajipan berbuat baik bukan sahaja kepada ibu bapa dan kaum kerabat, tetapi juga kepada jiran yang dekat mahupun jauh.
Malah, dalam satu hadis Nabi SAW bersabda:Ā “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai untuk jirannya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini menunjukkan betapa hubungan kejiranan bukanlah satu pilihan, tetapi satu tuntutan agama yang wajib dijaga.
Kodokushi dalam kerangka Islam bukan sekadar isu sosial atau psikologi, ia adalah manifestasi kelemahan umat dalam menjaga fardu kifayah iaitu amanah menjaga kesejahteraan masyarakat, terutama golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya atau mereka yang hidup sebatang kara.
Kesunyian yang membawa kepada kematian bukan sahaja menyentuh soal fizikal, tetapi juga jiwa yang merindui perhatian, kasih sayang dan empati sesama insan.
Oleh itu, pendekatan holistik perlu diambil bagi mengelakkan fenomena ini daripada menjadi lumrah dalam masyarakat kita.
Mengambil iktibar untuk proses penandaarasan, boleh saja kita lihat apa tindakan negara-negara jiran kita dalam mengatasi isu ini.
Singapura memperkenalkan program Silver Generation Office (SGO), Thailand mengaktifkan peranan sukarelawan kesihatan komuniti melalui projek Village Health Volunteers yang melawat warga emas secara konsisten, manakala di Indonesia, kerajaan melaksanakan program ‘Posyandu Lansia’ atau Pos Pelayanan Terpadu Lanjut Usia iaitu program penjagaan kesihatan dan kesejahteraan warga emas di peringkat komuniti.
Kesemua pendekatan ini menekankan kepentingan sokongan komuniti, pemantauan berterusan dan empati terhadap golongan rentan.
Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak-pihak yang berkait di Malaysia termasuklah menggiatkan semula semangat kejiranan melalui program rukun tetangga, ziarah komuniti dan aktiviti sosial yang mempererat hubungan antara jiran.
Pihak berkuasa tempatan boleh menyediakan sistem pendaftaran bagi mengenal pasti warga emas atau individu yang tinggal bersendirian agar mereka dapat dipantau secara berkala.
Masjid dan surau pula boleh memainkan peranan penting sebagai pusat pemantauan sosial, bukan sekadar sebagai tempat ibadah.
Imam dan ahli jawatankuasa masjid boleh dilatih untuk menyantuni golongan ini dan memantau jemaah yang semakin menghilang daripada saf.
Selain itu, kesedaran juga perlu dipupuk dalam khutbah-khutbah Jumaat dan ceramah agama agar masyarakat sedar bahawa menjaga hubungan sosial adalah sebahagian daripada ibadah.
Golongan belia dan pertubuhan bukan kerajaan juga boleh dilibatkan dalam program ziarah warga emas atau orang bujang yang tinggal seorang diri, agar mereka tidak terus terpinggir daripada perhatian sosial.
Malah, usaha menangani kesunyian juga perlu melibatkan aspek kesihatan mental dan emosi.

Bantuan psikososial serta pendidikan mengenai kepentingan mencari pertolongan perlu disebarluaskan agar individu yang sedang bergelut dengan tekanan hidup tidak berasa malu untuk mendapatkan bantuan.
Sesungguhnya, dalam dunia moden yang sibuk dan penuh dengan suara, tiada siapa pun yang patut mati dalam diam.
Kodokushi bukanlah sekadar kematian yang sunyi, akan tetapi ia adalah satu peringatan keras kepada kita semua bahawa jika kita alpa terhadap tanggungjawab sosial, maka kesunyian dan keterasingan akan menjadi wabak baharu dalam masyarakat.
Islam tidak mengajar umatnya untuk membiarkan manusia lain tenggelam dalam sepi. Sebaliknya, Islam mengangkat martabat setiap nyawa dan menuntut kita untuk saling menjaga, menyantuni dan mencintai sesama insan.
Jika kita benar-benar ingin membina masyarakat rahmah seperti yang dianjurkan Islam, maka kita mesti bermula dengan satu perkara yang mudah namun besar maknanya iaitu bertanya khabar kepada jiran yang mungkin selama ini kita abaikan.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

PROF MADYA DR. NURULIZA ROSLAN

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
