BERITA SEMASA

KLIA hentikan sementara perkhidmatan Aerotrain esok untuk pemeriksaan menyeluruh

SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara mulai esok dari pukul 9 malam hingga 7 pagi bagi memberi laluan kepada pemeriksaan dan penyelenggaraan menyeluruh sistem tren itu.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan tindakan komprehensif Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk meningkatkan kebolehpercayaan Aerotrain sepanjang tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pelan tindakan dibangunkan bersama kontraktor dan perunding terlibat melibatkan tiga peringkat berstruktur bagi menangani kelemahan sistem tren secara sistematik.

Mohd Izani bercakap kepada pemberita pada sidang media di KLIA hari ini.

“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas penuh akan disediakan untuk memastikan sambungan tanpa gangguan antara terminal utama dan bangunan satelit.

“Selain itu, lebih banyak penerbangan akan ditempatkan di terminal utama bagi mengurangkan keperluan pertukaran antara terminal,” katanya pada sesi taklimat media hari ini, seperti dilaporkan Kosmo! Online.

Beliau menegaskan pelan komprehensif itu adalah usaha tegas untuk memulihkan keyakinan awam terhadap Aerotrain, melalui pendekatan terancang, kerjasama pengawalseliaan dan komunikasi terbuka.

Menurutnya, pelan tindakan itu merangkumi tiga peringkat dengan langkah pertama mengenal pasti dan membetulkan ketidaksempurnaan sistem serta mencegah insiden berulang termasuk naik taraf teknikal dan perisian serta pemeriksaan menyeluruh tren.

“Peringkat kedua proses validasi melalui ujian simulasi, kemas kini perisian, pelarasan semula komponen dan ujian tekanan masa nyata bagi meningkatkan keteguhan sistem.

“Manakala peringkat ketiga operasi percubaan yang dipantau untuk memastikan kestabilan dan kesediaan sistem sebelum perkhidmatan penuh disambung,” katanya.

Selain itu, penilaian bebas akan dijalankan untuk audit teknikal dan operasi manakala Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuat pemeriksaan keselamatan rasmi setelah pelan selesai dilaksanakan.

“MAHB akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, APAD dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keyakinan awam terhadap Aerotrain meningkat,” tambah Mohd Izani.

Sejak kembali beroperasi pada 1 Julai lalu, sistem Aerotrain di KLIA telah memberi perkhidmatan kepada kira-kira tujuh juta penumpang, melengkapkan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik dengan Ketersediaan Perkhidmatan Operasi (OSA) sebanyak 98.41 peratus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button