Kesepaduan sosial Sabah, Sarawak boleh dijadikan model integrasi nasional
KUALA LUMPUR – Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak boleh dijadikan panduan dalam memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional.
Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan memberitahu, Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang bermesyuarat semalam telah membincangkan mengenai Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dapatan kajian tersebut menunjukkan, tahap kesepaduan sosial di kedua buah negeri itu berada pada tahap tinggi.
“(Sehubungan itu), model ini boleh dijadikan panduan dalam memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional melalui beberapa strategi.
“Antaranya, merapatkan jarak sosial melalui pembangunan modal insan dan infrastruktur, serta mengamalkan nilai keterbukaan melalui integrasi wilayah dan program silang budaya,” kata kenyataan itu.
Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di bangunan Parlimen hari ini turut bersetuju keahlian majlis ditambahbaik dengan melibatkan kementerian lain.
Antara kementerian dinamakan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Untuk rekod, buat masa ini keahlian MPPN terdiri daripada 12 tokoh masyarakat.
Mesuarat sama turut bersetuju memilih Tan Sri Lee Lam Thye sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil MPPN.
Jawatankuasa tersebut ditugaskan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menangani tuturan hasutan (hate speech) serta kenyataan-kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan kesepaduan masyarakat sejagat.
Antara perkara lain dibangkitkan termasuk membincangkan dan meluluskan cadangan pembangunan ruang sosial dan ruang fizikal di dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan strata kos rendah dalam bandar.
“Langkah ini bertujuan memperkasa dan memperkukuhkan perhubungan dan pembangunan komuniti di Malaysia melalui ruang sosial dan fizikal sebagai tapak integrasi selaras dengan usaha Pemerkasaan KRT Progresif.
“Projek ini juga diharap dapat memperkasakan komuniti dengan
memberi mereka ruang untuk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat kejiranan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








